
Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Madani Sahari berkata, kemajuan Proton setakat ini adalah hasil daripada pelan transformasi yang dilaksanakan tahun lalu, termasuk membentuk perkongsian dengan rakan strategik asing dan membaik pulih model perniagaannya.
Beliau berkata, Proton bertindak balas segera dengan pelancaran 4 model baharu pada tahun sama dan peningkatan jualan berbanding 2016 adalah “penunjuk harapan” terhadap masa depan syarikat itu.
Beliau mengulas laporan Proton mencatat peningkatan jualan sebanyak 12.5% setakat tahun ini, dengan 56,297 unit kereta dijual berbanding 50,091 unit bagi tempoh sama tahun lalu.
Semalam, Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Abdul Rashid Musa dilaporkan berkata, sebahagian besar peningkatan jualan itu disumbangkan model baharu Saga dan Persona, sebanyak 42.7% (24,061 unit) dan 27.4% (15,448 unit) bagi jualan kereta keseluruhan syarikat itu setakat ini.
“Kerjasama dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dari China, Proton menambah dimensi baru kepada identiti jenamanya.
“Pengalaman, akses pasaran dan teknologi Geely, ditambah keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta kilang pengeluaran Proton sendiri, memberi ekosistem lebih kondusif buat kedua-dua pihak,” kata Madani.
Beliau berharap Proton akan memanfaatkan hasil yang dikecapi sekarang untuk masa depan lebih baik.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi, Lee Heng Guie bersetuju dengan peningkatan jualan itu adalah petanda menggalakkan.
“Tetapi, masa depannya tetap mencabar dengan pasaran kereta yang kompetitif dari segi prestasi dan perkhidmatan selepas jualan.”
Dahulu, Proton mengakui menerima banyak aduan pelanggan berkaitan perkhidmatan selepas jualan yang tidak memuaskan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton yang baharu, Li Chunrong menjadikan penambahbaikan kepuasan pelanggan sebagai keutamaannya, ketika beliau memulakan misi untuk mengubah nasib Proton.
“Pelabur menetapkan jangkaan tinggi terhadap kerjasama Geely dalam memberi nafas baharu kepada pencapaian Proton.”
Beliau berkata, jika Proton berjaya, pengurusan, operasi, pemasaran dan perkhidmatan penghantarannya perlu melalui “transformasi radikal”.
Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aishah Ahmad berkata, Proton perlu lebih agresif dalam pemasarannya memandangkan ia adalah pasaran amat kompetitif, terutama dari segi harga.
“Saya fikir Proton mempunyai produk baik, walaupun ia menghadapi beberapa isu dahulu. Peningkatan jualan ialah petanda baik, ada harapan untuk masa depan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, perkongsian Proton dengan Geely akan menyaksikan kemunculan model dan pelanggan baharu, dan Proton kini terpaksa mengekalkan usahanya dalam membina keyakinan jenama.
Proton pernah mendominasi pasaran automotif Malaysia, tetapi mengalami kemerosotan beberapa tahun ini.
Pada 2001, Proton yang mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan selama beberapa berdekad sejak penubuhannya pada 1983, menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%. Tahun lalu, bahagian pasarannya sekadar 14%.
Tetapi, susulan perkongsian strategik dengan Geely yang turut memiliki jenama Volvo, Proton menyasarkan untuk menjadi satu dariapda 3 jenama terbaik di Asean.
Geely mengambil alih 49.9% saham dalam Proton, selepas memeterai perjanjian bernilai RM460.3 juta dengan syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd, Jun lalu.
Di bawah perjanjian itu, Geely akan memberi kepakaran dalam bidang pengeluaran, pembuatan, operasi dan pemasaran kepada Proton.