Kos ambil amah tanpa ejen 1/4 lebih murah

Kos ambil amah tanpa ejen 1/4 lebih murah

Kos RM3,400 hingga RM3,600 itu termasuk bayaran levi, visa, pas lawatan (kerja sementara), fi pemprosesan dan anggaran harga tiket penerbangan.

maid_pekerja_6001
PETALING JAYA: Majikan yang mengambil pembantu rumah asing secara terus dari 9 negara sumber hanya perlu membayar satu perempat atau RM3,400 hingga RM3,600 berbanding bayaran kepada ejen antara RM12,000 hingga RM18,000 ketika ini, kata ketua pengarah Jabatan Imigresen.

Datuk Seri Mustafar Ali dipetik Sin Chew Daily berkata, kos itu termasuk bayaran levi, visa, pas lawatan (kerja sementara), fi pemprosesan dan anggaran harga tiket penerbangan.

Katanya, majikan juga perlu membayar wang cagaran kepada kerajaan bagi memastikan mereka tidak melanggar perjanjian, contohnya jika pembantu rumah melarikan diri, majikan perlu membayar sejumlah wang dan gagal berbuat demikian, permohonan baharu mereka tidak akan dilayan.

Beliau berkata, jabatan itu akan memproses permohonan permit khas pembantu rumah asing melalui sistem dalam talian dalam tempoh 7 hingga 16 hari, mulai 1 Januari 2018.

“Permohonan melalui sistem atas talian itu dapat mengekang masalah pemerdagangan dan perhambaan manusia,” katanya.

Jumaat lalu, perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan membenarkan majikan mengambil pembantu rumah secara langsung dari 9 negara sumber tanpa melalui ejen.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah dari Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan yuran pemprosesan mengikut kadar sedia ada.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kos mengambil amah asing boleh dikurangkan sehingga 50% berbanding kos keseluruhan antara RM12,000 hingga RM18,000 yang perlu ditanggung majikan ketika ini.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, majikan boleh memilih pembantu rumah asing yang berada di Malaysia atau pergi ke 9 negara sumber iaitu Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, India, Sri Lanka, Nepal, Laos dan Vietnam, untuk mencari amah dikehendaki.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menghalang majikan menggunakan khidmat ejen atau orang tengah untuk mengambil pembantu rumah asing, sekiranya mereka bersedia menanggung kos lebih tinggi.

Katanya, permohonan atas talian terdiri daripada 9 proses iaitu pendaftaran dalam talian oleh majikan, log masuk dan pendaftaran pembantu rumah asing, saringan kesihatan, muat naik dokumen, semakan, kelulusan, notifikasi keputusan, bayaran dan cetakan pelekat permit lawatan (kerja sementara).

Selepas mendaftarkan pembantu rumah asing itu di laman web Jabatan Imigresen, katanya, permohonan akan diproses dalam 2 hingga 3 hari dan selepas diluluskan, visa dengan rujukan (VDR) akan dikeluarkan kepada majikan.

Katanya, pembantu rumah terbabit wajib menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berdaftar dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) pada harga RM201.40 dan kebiasaannya laporan akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari.

“Jika laporan itu diperolehi dalam masa 7 hari, keseluruhan proses permohonan pada dasarnya hanya memerlukan 10 hari.”

Majikan perlu bertanggungjawab untuk menghantar pembantu rumah yang tidak lulus pemeriksaan kesihatan pulang ke negara asal.

 

Mohon permit pembantu rumah secara ‘online’ mulai 1 Januari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.