Azmin umum belanjawan Selangor RM3.12 bilion, 53% untuk pembangunan

azmin-selangor-1SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM3.12 bilion pada tahun 2018 berbanding RM3.45 bilion pada tahun sebelumnya, atau penurunan sebanyak RM330 juta.

Ia juga merupakan defisit belanjawan keempat berturut-turut dibentangkan Azmin apabila kerajaan negeri dijangka mencatatkan defisit RM870 juta pada tahun depan.

“Belanjawan 2018 dijangka alami defisit RM870 juta berpunca peruntukan pembangunan substantif keperluan pembangunan mampan,” katanya di Dewan Negeri Selangor.

Sejumlah RM1.46 bilion atau 46.8% daripada bajet diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, sementara RM1.66 bilion atau 53.2% diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, atau peningkatkan 1% berbanding peratusan belanjawan lepas, dan meneruskan trend pembangunan mengatasi mengurus sejak belanjawan 2014.

“Kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan 2018 berjumlah RM3.12 bilion, bagi memacu ekonomi dan pembangunan yang menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

“Selama 4 tahun berturut-turut kerajaan negeri menaikkan peratusan belanja pembangunan yang melebihi pembangunan mengurus,” kata Azmin.

Menerusi Belanjawan 2018 bertema “Membangun Bangsa, Memakmur Negeri”, Azmin berkata kerajaan negeri akan memastikan perbelanjawan kali ini akan diurus dengan cekap serta menutup segala pembaziran.

“Pengalaman 3 belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti serta menutup pembaziran dan ketirisan.

“Ia berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang dan mengurangkan belanjawan defisit kepada jumlah munasabah,” katanya.

Pada 2017 kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.45 bilion untuk melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.