Naib Presiden Warisan Peter Anthony dipanggil SPRM semula

Naib Presiden Warisan Peter Anthony dipanggil SPRM semula

SPRM mengeluarkan waran meminta naib presiden Warisan itu hadir ke ibu pejabatnya di Putrajaya, esok.

Peter-Anthony36
KOTA KINABALU:
Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony sekali lagi disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai berkaitan sebuah projek Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anthony tiba di pejabat agensi anti-rasuah itu pada 9.30 pagi tadi, sebelum meninggalkan bangunan itu kira-kira 20 minit kemudian. Beliau diminta tampil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 8.30 pagi esok.

Bercakap kepada wartawan, katanya, beliau dipanggil SPRM untuk membantu dalam satu siasatan, namun tidak dimaklumkan apa yang disiasat agensi itu.

“Saya dimaklumkan SPRM sudah mengeluarkan waran kepada saya untuk hadir di pejabat SPRM di Putrajaya esok.”

Isnin lalu, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal disoal siasat SPRM lebih 3 jam.

Akhbar The New Straits Times memetik sumber SPRM sebagai berkata, siasatan itu berkaitan sebuah projek UMS.

Ogos lalu, Anthony menafikan beliau membuat tuntutan palsu melebihi RM42 juta ketika melakukan kontrak kerja dengan UMS.

Beliau dilaporkan berkata, syarikatnya menerima sijil mengesahkan ia menyelesaikan kontrak daripada UMS dengan mematuhi semua peraturan dan skop kerja dalam kontrak itu.

Kes itu meletakkan Anthony di bawah pemerhatian hampir 2 tahun, walaupun SPRM sudah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku pada 2012.

Anthony antara beberapa individu yang ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan oleh SPRM bulan lalu dalam siasatan berkaitan penyelewengan dana RM1.5 bilion untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Turut ditahan ialah Shafie bersama 2 adiknya, Hamid dan Datuk Yusof yang juga adun Lahad Datu daripada Umno, serta Ketua Pemuda Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman.

Media sebelum ini melaporkan 72 daripada 350 projek di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang pernah diterajui Shafie dipantau SPRM atas dakwaan penyelewengan dana persekutuan.

Dana RM1.5 bilion itu dikatakan sebahagian daripada RM7.5 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya itu di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan, antara 2009 hingga 2015.

Lebih 45 orang disoal siasat SPRM sejak siasatan itu bermula. Kira-kira RM170 juta aset dan wang dalam akaun bank milik beberapa syarikat yang terbabit dalam projek itu juga dilapor dibekukan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.