Malaysia panggil pakar antarabangsa atasi banjir

Malaysia panggil pakar antarabangsa atasi banjir

Kolokium pada Januari 2018 akan menghimpunkan pakar dari dalam dan luar negara untuk menyelesaikan banjir yang kerap berlaku.

wan-junaidi
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengumpulkan pakar antarabangsa dan tempatan bagi mencari jalan mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di negara ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, satu kolokium akan diadakan bagi tujuan itu pada Januari tahun hadapan.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata tiada formula seragam bagi menyelesaikan masalah banjir.

“Di Pulau Pinang perlukan formula sendiri, Kelantan dan Terengganu mungkin formula sendiri, yang berlaku di Kuching, Sarawak dan di Sabah, perlu formula sendiri,” katanya kepada wartawan di sini.

Wan Junaidi berkata pakar dari dalam dan luar negara akan dijemput untuk mengkaji dan mencari penyelesaian banjir secara keseluruhannya.

“Kita minta pakar-pakar dari universiti tempatan, pakar dari Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dan juga pakar dari luar negara.”

Kolokium itu antara lain akan melihat kaedah mengatasi masalah hakisan di sepanjang pesisiran pantai.

Mengulas dana RM1 bilion diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengatasi masalah banjir sebelum ini, Wan Junaidi berkata, pelaksanaan bagi 13 projek tebatan banjir itu hanya akan dilaksanakan selepas bajet untuknya diluluskan kerajaan.

“Selepas itu bila dah dapat bajet ini, baru kita memulakan kajian teknikal.”

Wan Junaidi turut menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mengkaji semula program mengatasi masalah banjir mereka.

“Kalau kita lihat apa berlaku pada 4, 5 November lepas, cukup jelas apa sahaja kita buat pada masa sekarang tidak mencukupi oleh kerana air pasang tinggi, hujan turun banyak, jadi dalam keadaan sedemikian kita tiada tempat untuk mengalirkan air ke laut,” katanya.

Banjir di Pulau Pinang awal minggu lalu dikatakan antara yang terburuk pernah melanda negeri itu sejak 1995.

Ia mengorbankan 7 orang, di samping memaksa lebih 4,000 penduduk berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga memusnahkan harta benda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.