

Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz bersetuju dengan cadangan peguam Gooi Soon Seng, yang mewakili Siti Aisyah, bahawa Ri Ji masih berada di Malaysia berikutan beliau tidak pernah membuat sebarang semakan keluar masuk lelaki berkenaan ke negara ini.
Saksi pendakwaan ke-9 itu, bagaimanapun, menjawab ”tidak tahu” apabila dicadangkan Ri Ji memasuki negara ini dari Phnom Penh, Kemboja pada 21 Januari lalu dengan penerbangan Malaysia Airlines.
Beliau berkata demikian pada perbicaraan hari ke-16 kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama 4 lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan, Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9.00 pagi, 13 Februari lalu.
Terdapat 2 gambar Ri Ji dalam telefon bimbit Siti Aisyah iaitu ketika lelaki itu berada di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mengenai wang AS$38,000 (RM160, 626) yang ditemui di sebuah kondominium diduduki oleh seorang suspek warga Korea Utara, Ri Jong-chol, Wan Azirul Nizam berkata menurut keterangan diambil daripada lelaki itu, wang tersebut diterima daripada 4 lelaki Korea Utara.
Saksi itu berkata 4 lelaki itu ialah Kim Chun-hui dan 3 lagi lelaki yang beliau tidak ingat namanya.
“Dia (Ri Jong) menerima wang itu pada Oktober 2016 untuk membeli ‘mee lembut’ untuk dihantar ke Korea Utara. Saya juga tidak membuat siasatan lanjut,” katanya sambil menambah lelaki itu menyewa kondominium tersebut sejak 19 Mei 2015 dengan kadar bayaran RM1,700 sebulan.
Katanya, Ring Jong akan membuat bayaran tunai kepada (pemilik rumah) pada setiap hujung bulan dan pemilik rumah itu akan mengambil wang itu di kondominium berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.