
Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan pemaju perlu memberi sokongan kepada kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada kerajaan.
Beliau berkata setakat ini kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.7 bilion untuk memastikan rumah mampu milik dapat dibuat.
“Kalau kajian dibuat rumah RM250,000 ke bawah mudah dijual tetapi yang banyak tak terjual rumah RM250,000 ke atas.
“Pemaju rasa nak kejar buat rumah mahal dan mewah, sedangkan kerajaan berbelanja RM2.7 bilion untuk memastikan jual rumah mampu milik dibuat. Pemaju kena bantu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat pada Selasa lalu yang mendakwa aduan yang diterima dan pemerhatiannya mendapati rakyat hampir mustahil memiliki rumah di Wilayah Persekutuan, “cuma mungkin mampu tengok”.
Bung menambah program rumah mampu milik kerajaan Persekutuan, Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA juga didakwa tersasar daripada matlamat asal.
Noh bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan Bung berhubung rumah mampu milik seperti PR1MA lari daripada matlamat asal.
“Kita ada jumlah kita. PR1MA bukan bawah saya. Pergi tanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim. Projek Perumahan Rakyat (PPR) saya jawab,” katanya.