Tuduh badan ulama pengganas mainan politik Teluk, kata PAS

Tuduh badan ulama pengganas mainan politik Teluk, kata PAS

PAS berkata tuduhan terhadap badan Islam antarabangsa yang turut dipimpin presidennya tidak akan memberi kesan kepada parti itu.

Khairuddin-Aman_ulam_IUMS_600
KUALA LUMPUR:
Tindakan Arab Saudi dan 3 negara lain menyenaraikan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (IUMS) sebagai terlibat dalam keganasan adalah isu politik negara Teluk, kata seorang pemimpin kanan PAS.

Datuk Khairuddin Aman Razali, yang juga ketua penerangan Dewan Ulamak PAS, berkata kenyataan yang dikeluarkan Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain itu kerana tidak sebulu dengan Qatar yang menjadi tuan rumah IUMS, organisasi yang antara pemimpinnya ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ini isu politik negara Arab, bukan masalah kesatuan ulama itu sendiri,” katanya kepada FMT.

IUMS diasaskan pada 2004 oleh ulama terkenal berpangkalan Qatar, Yusuf al-Qaradawi.

Pada Jun, Arab Saudi dan beberapa konconya di negara Teluk memutuskan hubungan dengan Qatar, kerana tidak puas hati sokongan negara kecil itu terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimun, di samping dilihat mesra dengan Iran, musuh utama Arab Saudi di rantau itu.

Susulan itu, pakatan itu mengeluarkan senarai negara, pertubuhan dan individu yang kononnya terlibat dengan keganasan.

Selain IUMS yang ditambah dalam ke dalam senarai tersebut, mereka turut menamakan Majlis Islam Antarabangsa atau Massaa, di samping 11 individu lain.

“Kedua-dua entiti itu adalah organisasi pengganas yang mahu mempromosikan keganasan dengan mengeksploit wacana Islam sebagai alasan menutup bantuan kepada aktiviti pengganas,” kata kenyataan 4 negara itu dipetik Arab News.

Khairuddin berkata PAS tidak terkesan dengan perkembangan itu walaupun Hadi merupakan naib ketua IUMS.

“Tiada apa-apa tindakan dari pihak PAS,” kata ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

Khairuddin mempertahankan IUMS dan berkata organisasi itu terkenal mempromosikan kesederhanaan.

“Kesatuan ini tidak mendorong kepada sebarang bentuk keganasan malah ia terkenal sebagai persatuan yang sederhana dan tidak terlibat dalam aktiviti keganasan,” katanya lagi.

Kerajaan perlu siasat

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusuf Rawa berkata, tuduhan berkenaan perlu disiasat kerajaan kerana elemen keganasan tidak hanya melibatkan pengeboman sebaliknya bermula dari pemikiran.

“Kita tidak boleh tunggu sehingga bangunan diletupkan kerana yang lebih bahaya adalah minda.

“Mereka rasa mereka akan ke syurga sedangkan pemikiran seperti itu mencetuskan kebencian,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Hadi juga perlu menjelaskan situasi sebenar beliau tidak mempromosikan kebencian sebaliknya hanya berjuang menegakkan Islam yang sebenar.

“Pada masa sama kerajaan juga perlu mendapatkan lebih banyak maklunat daripada 4 negara yang mendedahkan maklumat itu.

“Hadi adalah naib ketua organisasi itu dan ia dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Kerajaan perlu siasat sama ada tuduhan itu benar atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.