
Menurutnya, persepsi bahawa kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dan diketuai Umno melakukan amalan rasuah dalam pentadbiran adalah tidak benar.
“Untuk beri gambaran kerajaan rasuah disebabkan pegawai-pegawai rasuah atau mereka yang mempunyai kuasa, maka tuduhan itu adalah tidak betul.
“Seolah-olah kerajaan BN yang ditunjangi Umno diberi persepsi negatif,” katanya sewaktu merasmikan Persidangan Pemerkasaan Generasi Baharu 2017 di Hotel Seri Pacific.
Pada 25 Januari lalu, Transparency International-Malaysia (TI-M) melaporkan Malaysia berada di tangga ke-55 daripada 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016 dan 3 negara teratas dalam kalangan negara Asean.
Presiden TI-M Datuk Akhbar Satar berkata Malaysia mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI.
Berbanding negara Asean lain, Malaysia berada di bawah Singapura (kedudukan ke-7) dan Brunei (ke-41) namun di atas Indonesia (ke-90), Filipina (ke-101), Thailand (ke-101), Vietnam (ke-113), Laos (ke-123), Myanmar (ke-136) dan Kemboja (ke-156).
Zahid turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut melihat sekiranya ada amalan rasuah yang diamalkan di negeri yang bukan ditadbir Umno.
“Saya mempunyai keyakinan tinggi pada SPRM, tanggungjawab kita turunkan penarafan Malaysia di kedudukan ke-55.
“Tetapi ia bukan tanggungjawab SPRM sahaja. Kita juga kena bertanggungjawab. Kerajaan, pihak swasta, pembangkang dan individu-individu,” katanya.