Kerugian forex: Polis ambil keterangan Dr M esok, kata peguam

Kerugian forex: Polis ambil keterangan Dr M esok, kata peguam

Haniff Khatri Abdulla berkata, beberapa peguam Dr Mahathir akan hadir ketika polis mengambil keterangan bekas perdana menteri itu Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

haniff-mahathir-bnm-1
PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad, esok berhubung kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex) kira-kira 25 tahun lalu, kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata, beberapa peguam akan turut hadir ketika polis menyoal siasat bekas perdana menteri itu Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

“Kami percaya siasatan itu berhubung satu laporan polis dibuat setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 30 November lalu,” katanya kepada FMT hari ini.

Panel 6 anggota RCI yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu membuat kesimpulan terdapat unsur fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan kerugian forex ditanggung BNM dan kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

RCI itu dalam laporannya menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.

Mereka turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

RCI itu bersidang selama 8 hari mulai 21 Ogos hingga 19 September lalu dengan memanggil 25 saksi.

Sebanyak 42 dokumen diserahkan sepanjang prosiding dijalankan.

Laporan RCI setebal 400 muka surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong 13 Oktober lalu dan diedarkan kepada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 30 November lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.