
Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata 63 laporan diterima di seluruh negara sehingga kini.
“Siasatan masih berjalan dan 65 keterangan diambil setakat ini, termasuk pengadu yang membuat laporan polis.
“Alhamdulillah, semua pengadu termasuk Nik Zawawi memberi kerjasama baik. Malah, kenyataan Nik Zawawi juga perlu dirujuk kepada pakar agama,” katanya menurut Harian Metro selepas menghadiri perhimpunan bulanan IPK Kelantan di Kota Bharu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Ditanya jika Ahli Parlimen PAS itu akan dipanggil semula untuk memberi keterangan, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
Rabu lalu, setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung latar kehidupan beberapa sahabat Nabi Muhammad dalam sebuah ceramah di Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu.
Beliau mengakui ‘kurang cermat’ dalam mengolah maklumat dan penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi serta menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Jumaat lalu, Nik Zawawi memberi keterangan di IPD Kota Bharu.