DUPP tegur Nik Zawawi susulan kontroversi ceramah sahabat Nabi

DUPP tegur Nik Zawawi susulan kontroversi ceramah sahabat Nabi

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Mohd Nor Hamzah berkata pihaknya mengakui Ahli Parlimen Pasir Puteh itu telah menyampaikan fakta tidak tepat.

Dewan Ulamak PAS Pusat berkata Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh telah diberi peringatan untuk lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam susulan kontroversi dalam ceramahnya di Kuala Terengganu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegur Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang dilihat menyampaikan fakta tidak tepat hingga mencetuskan kontroversi dalam ceramahnya mengenai sejarah sahabat Nabi Muhammad di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah, berkata pihaknya memandang serius terhadap polemik yang timbul berhubung isu terbabit dan mengakui terdapat kenyataan tidak tepat khususnya mengenai Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman dalam video tular ceramah berkenaan.

“DUPP menegaskan bahawa Sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat ini yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.

“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.

“Kita juga telah menegur dan memberi peringatan secara dalaman kepada Nik Muhammad Zawawi agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan Sahabat Rasulullah,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Susulan perkara itu, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR (BiPPA) mendesak Zawawi memberikan penjelasan dan permohonan maaf daripada PAS kerana tindakan itu dilihat boleh mencemarkan kemurnian Islam.

Zawawi yang juga setiausaha Majlis Syura Ulama PAS kemudiannya semalam tampil memberi penjelasan berhubung ceramahnya itu selepas dikatakan mengaitkan Saidina Abu Bakar dengan istilah ‘ceti’ ketika menyentuh tentang sistem ekonomi masyarakat jahiliah.

Dalam video penjelasan di Facebook, beliau menegaskan penggunaan istilah tersebut bukan bertujuan menghina atau merendahkan martabat sahabat Rasulullah, sebaliknya sebagai analogi supaya masyarakat lebih mudah memahami realiti sistem ekonomi zalim pada zaman jahiliah.

Menurutnya, masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam sistem yang menindas sehingga ada individu yang terjerumus menjadi hamba akibat hutang dan kegagalan melunaskan bayaran.

Sementara itu, Mohd Nor berkata ia menghargai teguran ilmuwan yang disampaikan secara beradab ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.

” Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.

“DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.