
Pengerusi Daie Madani Amir Zuhair Abdull Khalid yang mewakili NGO itu berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya dibuat, lebih-lebih lagi oleh seorang pemimpin daripada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam.
“Kami tampil hari ini membuat laporan polis kerana merasakan menjadi tanggungjawab kami sebagai orang Islam untuk menjaga maruah dan kedudukan para sahabat nabi di sisi agama.
“Tidak patut seorang pemimpin parti Islam membuat tuduhan sangat semberono. Sangat tidak wajar menghina kedudukan para sahabat nabi, lebih-lebih lagi di Malaysia yang merupakan negara Islam,” katanya pada sidang media di hadapan IPD Putrajaya hari ini.
Hadir sama wakil NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia dan Pemuda PKR.
Terdahulu, Zawawi ditegur Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) apabila dilihat menyampaikan fakta tidak tepat hingga mencetuskan kontroversi dalam ceramahnya itu.
Dalam video ceramah tular itu, dia didakwa mengaitkan Saidina Abu Bakar dengan istilah ‘ceti’ ketika menyentuh sistem ekonomi masyarakat jahiliah.
Selain itu, Ketua Penerangan DUPP Mohd Nor Hamzah turut mengingatkan beliau lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam khususnya dalam perkara melibatkan kedudukan serta kemuliaan sahabat Rasulullah.
Video ceramah itu turut mengundang reaksi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR (BiPPA) yang mendesak Zawawi memberikan penjelasan serta memohon maaf kerana kenyataan berkenaan disifatkan boleh mencemarkan kemurnian Islam.