
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata penganjur hanya mengemukakan permohonan untuk menyewa padang di Kompleks Sukan Pandamaran kepada MPK dan menjadi tanggungjawab penganjur untuk menjamin keselamatan peserta.
“Penganjur sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap kawalan keselamatan lalu lintas di jalan yang dilalui peserta.
“MPK pada hari sama pula terlibat dengan pelbagai program sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-72 di Istana Alam Shah dan tidak dapat menyediakan bantuan sewajarnya,” katanya pada majlis Pecah Tanah Bulatan 100.
Dalam kejadian rempuhan oleh kereta jenis Proton Iswara pada 4.30 pagi di Jalan Kapar Batu 2 itu, Evelyn Ang Gek Suan, 44, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan rahang, manakala 2 lagi pelari, Ahmad Hadafi Jus, 44, dan Amiruddin Hamid, 37, hanya cedera ringan di bahagian kaki.
Tambah Mohamad Yasid, penganjur juga dilihat tidak melakukan hebahan meluas kepada penduduk sekitar kawasan laluan peserta larian itu.
“Penganjur perlu meletakkan antaranya papan tanda, kawalan keselamatan di setiap persimpangan dan kain rentang di sepanjang laluan untuk mengingatkan pengguna jalan raya acara larian sedang dijalankan,” katanya.
Bagaimanapun Mohamad Yasid berkata pihaknya tidak akan menghalang mana-mana penganjur mengadakan acara sedemikian pada masa depan tetapi berharap penganjur dapat memastikan kawalan keselamatan cukup kepada peserta.