

Juruteknik berusia 55 tahun, Husin Abdul Rahman berkata, syarat baharu itu memberi ruang kepada pencarum menggunakan wang berkenaan untuk menampung kos sara hidup semakin tinggi.
Katanya, beliau juga boleh melaburkan simpanan yang dikeluarkan daripada KWSP itu untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Saya rasa menarik. Kita boleh keluarkan duit itu untuk perbelanjaan dan menampung kos sara hidup.
“Dulu, masa dihadkan kita sukar sedikit untuk merancang duit tersebut kerana duit hanya keluar sedikit-sedikit bukan sekaligus,” katanya ketika ditemui FMT di KWSP cawangan Petaling Jaya.
Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, kelonggaran itu berbeza dengan dasar semasa yang hanya membenarkan pengeluaran tidak kurang RM2,000 setiap 30 hari.
Katanya, pencarum boleh membuat pengeluaran bulanan serendah RM100 berbanding RM250 ketika ini.

Sementara itu, Muhammad Yusof Mahmud, 54, yang bekerja sebagai pembantu perpustakaan di akhbar The Star berkata, beliau kini boleh memanfaatkan dasar pengeluaran lebih fleksibel itu untuk membeli rumah pertamanya.
“Saya belum ada rumah lagi. Duit itu boleh digunakan saya untuk membeli rumah. Nak beli rumah sekarang susah, dengan duit itu saya boleh menggunakan untuk membeli rumah secara tunai.”
Seorang lagi pencarum berusia 60 tahun, Husin Ahmad berkata, beliau boleh mengeluarkan caruman itu untuk kegunaan waktu kecemasan.
“Kita tidak tahu bila kita akan jatuh sakit di usia tua ini, kalau keluar duit sikit-sikit susah untuk gunakan duit itu. Dengan adanya syarat baru ini memberikan banyak kebaikan kepada kita.”