PH jual harapan palsu kepada Sabah, kata aktivis MA63

PH jual harapan palsu kepada Sabah, kata aktivis MA63

Zainnal Ajamain memperlekehkan manifesto terbaru PH kerana ia menunjukkan pimpinan mereka tidak faham pemikiran rakyat Sabah.

Zainnal-Ajamain-ph-pakatan-harapan-logo
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) harus faham rakyat Sabah dan hak mereka bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum menyebarkan harapan palsu “Janji Baru”, seolah-olah rakyat mudah terpedaya, kata aktivis Zainnal Ajamain.

Zainnal, yang mengetuai NGO Sabah Firstborn Society, hairan PH merasakan perlu mengumumkan peruntukan RM15 bilion untuk dana pembangunan prasarana di Sabah dan Sarawak jika mereka menawan Putrajaya.

“Saya tidak nampak tujuan menetapkan jumlah itu atau mengumumkan mereka akan menyalurkan 30% daripada belanjawan pembangunan negara untuk Sabah.

“Sarawak pernah menyumbang tidak kurang daripada RM120 bilion kepada perbendaharaan persekutuan 2 tahun lalu, bermakna sumbangan Sabah juga lebih kurang jumlah itu.

“Jadi apabila PH menjanjikan RM15 bilion seperti satu tamparan buat rakyat Sabah kerana mudah terperdaya,” katanya.

Menurut Zainal, gabungan pembangkang tidak perlu mengumumkan perkara-perkara baharu seperti menetapkan peruntukan pembangunan prasarana.

Gabungan pembangkang sepatutnya memberi penekanan kpada membayar Sabah 40% daripada hasil bersih yang kerajaan persekutuan kutip daripada negeri itu, termasuk tunggakan dan faedah sejak 1964.

“Kadangkala ahli politik Tanah Melayu suka cakap benda untuk menyedapkan hati mereka, sedangkan ia bukanlah perkara baharu buat rakyat Sabah.

“Tanah Melayu mesti membayar 40% kepada Sabah agar kami dapat menjaga perkhidmatan pendidikan dan kesihatan negeri dengan lebih baik.

“Apa fungsi memulihkan (bidang kuasa ke atas) pendikan jika kamu tidak mahu memulihkan sumber pendapatan kami?” soalnya.

Zainnal berkata pemimpin PH ternyata tidak begitu peduli tentang hak yang digariskan bawah MA63 dan hanya berminat meraih undi.

Atas sebab itu pemimpin PH tidak faham slogan “Sabah untuk rakyat Sabah” kerana mereka menggunakan mantera itu untuk mengatakan hak Sabah ditentukan Putrajaya maka mereka perlu menukar kerajaan sedia ada, katanya.

Zainnal berkata ini bermakna PH akan menjanjikan bulan dan bintang semata-mata untuk meraih undi.

“Bagaimana rakyat Sabah mahu percaya kata-kata orang Tanah Melayu? Di Indonesia, mereka gelar orang-orang seperti itu ‘Belanda dapat tanah’. Mereka akan gali tanah kecil yang mereka ada dan tebarkan ke tempat lain dan di mana tanah itu tersebar, mereka akan tuntut sebagai tanah sendiri.”

Beliau berkata, “Janji Baru” sebenarnya tidak betul kerana Sabah tidak pernah dibayar royalti. Negeri itu hanya menerima bayaran tunai sejak 1974, bermakna gabungan pembangkang tidak dapat membezakan antara royalti dan bayaran tunai.

Beliau menekankan Sabah memiliki seluruh sektor gas dan minyak tetapi undang-undang tertentu yang diluluskan Parlimen mengambil hak minyak dan gas Sabah dan Sarawak.

“Adakah PH melawan ketidakadilan ini? Undang-undang itu digunakan untuk mewajarkan perampasan kekayaan Sabah. Jadi apa yang sedang PH lakukan? Seperti biasa apabila tersepit, mereka buat tidak peduli.

“Kemudian, mereka berani menjanjikan 50% perkongsian hasil. Tahukah mereka tidak mampu tonjolkan tentang 40% itu di Parlimen sejak Malaysia ditubuhkan dan kini mereka bercakap tentang menaikkan kepada 50%?

“PH bukan sahaja menghina kecerdikan rakyat Sabah, tetapi mereka jelas memberikan harapan palsu.

“Saya, mungkin dapat mempertimbangkan cadangan PH jika mereka bertekad untuk membenarkan kerajaan Sabah mengutip semua cukai, Sabah ambil 50% dan 50% lagi dihantar kepada Putrajaya.

“Tetapi jika Putrajaya yang kutip dan memberikan 50% kepada kami, tidak apalah, minta maaf tetapi kami bukan ‘paloi’ (bodoh).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.