Zunar bawa larangan keluar negara ke Mahkamah Persekutuan

zunar-courtPETALING JAYA: Kartunis Zunar yang gagal mendapatkan pembatalan larangan keluar negara di Mahkamah Tinggi kini sedang mencuba mencabar kesahan undnag-undang imigresen di Mahkamah Persekutuan.

Beliau memfailkan notis usul hari ini di pejabat pendaftaran Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah itu untuk mencabar Seksyen 59 dan 59A Akta Imigresen.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, mahu membatalkan kedua-dua seksyen itu atas dasar kedua-dua seksyen itu tidak berperlembagaan dan Parlimen tiada kuasa untuk meluluskan 2 seksyen itu kerana melanggar perkara yang menggariskan kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 59 tidak membenarkan seseorang itu didengarkan di depan Kementerian Dalam Negeri atau ketua pengarah Jabatan Imigresen tentang apa-apa keputusan mereka, sementara Seksyen 59A mensyaratkan keputusan menteri dan ketua pengarah tidak boleh disoal di mahkamah menerusi semakan semula kehakiman.

Mahkamah Tinggi pada November lepas menolak permohonan untuk memansuhkan larangan keluar negara itu dan lagi satu permohonan untuk merujuk kes terus ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi memutuskan mahkamah terikat oleh keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes yang sama melibatkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Pada Julai 2016, Pua gagal dalam usaha memansuhkan larangan keluar negaranya di Mahkamah Tinggi dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Bagaimanapun, ahli Parlimen DAP selama 2 penggal itu akhirnya dibenarkan keluar negara pada Oktober tahun lepas.

Selain Pua, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah juga berdepan nasib sama apabila cabaran ke atas larangan keluar negara terhadapnya ditolak pada Mei tahun lepas.

Zunar dilarang ke Singapura untuk menghadiri forum di sana pada Oktober 2016.

Kini beliau berdepan 9 tuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman atas kes liwat ke-2 melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.