
Ketika dihubungi, Abu Hassan yang juga adik kepada bekas musyidul am PASm Datuk Haron Din, berkata beliau mengetahui larangan itu sebaik sahaja tiba di Johor Sabtu lalu.
Katanya perkara itu dimaklumkan pihak masjid yang menganjurkan program untuk beliau di Muar dan Pontian, setelah mendapat arahan daripada pihak Majlis Agama Islam Johor.
“Tiba-tiba saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan berceramah,” katanya kepada FMT.
Abu Hassan sepatutnya menjalankan program ceramah 2 hari di Pontian dan 2 hari di Muar.
Menurutnya, programnya di Johor minggu depan juga dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran.
Abu Hassan berkata beliau terkilan tidak dimaklumkan secara terperinci alasan larangan tersebut.
“Pihak penganjur cuba mendapat pengesahkan, cuma mereka tidak tahu sebab larangan.Saya juga sedikit terkilan kerana tidak tahu sebab-sebab kenapa saya dilarang.”
Bagaimanapun, beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai agama Istana Negara berkata keputusan itu diterima dengan hati terbuka.
Larangan terhadap Abu Hassan berlaku 2 bulan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, melarang pendakwah Zimbabwe, Ismail Menk atau Mufti Menk, daripada mengadakan ceramah agama di negeri itu.
FMT sedang cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa Islam Johor.