Saifuddin: Perdamaian Dr M-Anwar bukan dibuat-buat

Saifuddin: Perdamaian Dr M-Anwar bukan dibuat-buat

Setiausaha agung PKR itu berkata beliau yakin agenda kedua-dua pemimpin itu mampu memberi lonjakan besar untuk memajukan gerakan reformasi.

Saifuddin-Nasution-Ismail-mahathir-anwar-malaysia-perdamaian
GEORGE TOWN: Perdamaian antara 2 musuh ketat, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan dibuat-buat dan adalah satu langkah ke hadapan, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, ia bukanlah isu “permainan zero-sum” di mana hanya satu pihak sahaja peroleh kemenangan hasil daripada kerugian orang lain kerana kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar telah berkorban, dan bersedia untuk memaafkan, melupakan dan maju ke hadapan.

“Ia bukanlah keputusan yang mudah bagi Anwar. Saya melawat beliau pada hari Kovensyen Pakatan Harapan (PH) diadakan bagi mendapatkan nasihat untuk maju ke hadapan.

“Saya gembira untuk berkongsi dengan kamu, tidak ragu-ragu lagi Anwar bersedia menerima Dr Mahathir.

“Bagi Anwar, masa depan Malaysia adalah paling penting.
“Dengan itu, saya percaya kita bersedia untuk pilihan raya yang bakal diisytiharkan dalam kurang daripada 2 atau 3 bulan,” katanya di pertemuan bersama media di Gayo Korea House semalam.

Pada Ahad lalu, PH mengesahkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika pembangkang menang pada pilihan raya akan datang.

Ia juga menamakan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Apabila disoal berkenaan keyakinannya kepada Dr Mahathir, Saifuddin berkata, dahulu apabila beliau menaiki pentas, isi kandungan ceramah beliau semestinya untuk “belasah” Dr Mahathir.

Sejak PPBM menyertai PH dan Dr Mahathir dilantik pengerusi gabungan, Saifuddin berkesempatan menyertai ahli politik veteran itu di beberapa forum, dialog, seminar dan lawatan ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata Dr Mahathir masih berpengaruh di kawasan pedalaman dan penempatan Felda – kawasan yang sukar ditembusi Anwar.

“Kesemua 55 kerusi Felda dipegang oleh Barisan Nasional (BN). Semasa Anwar menjadi ketua umum Pakatan Rakyat, beliau boleh masuk tetapi dibaling batu dan kayu. Beliau diusir.

“Kali ini (dengan Mahathir) tidak berlaku. Di Kedah, kami telah ke 8 kawasan Felda. Tidak boleh tipu.”

Saifuddin berkata di kawasan pedalaman, pemimpin PH lain seperti Wan Azizah, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan beliau sendiri tidak memberi impak sebagaimana Dr Mahathir.

Tetapi jika Dr Mahathir melawat, Saifuddin berkata penduduk kampung akan keluar untuk mendengar ucapannya.

Ini kerana Dr Mahathir menawarkan konteks kepimpinan yang berwibawa, katanya.

“Yang kita perlu hadapi sekarang adalah perdamaian antara 2 pemimpin. Seperti yang saya katakan, ia bukan ‘permainan zero-sum’.

“Anwar mahukan agenda reformasi. Mahathir mahu selamatkan Malaysia. Kalau digabungkan 2 elemen ini, saya percaya kedua-dua pihak ini mampu hasilkan impak baharu untuk memajukan gerakan reformasi,” katanya.

Saifuddin menambah, 2 pemimpin itu sudah berusia dan mahu membuka laluan kepada generasi akan datang.

“Dr Mahathir sudah minta maaf. Anwar kata beliau sedia maafkan untuk pandang ke hadapan.

“Saya percaya mereka mampu beri lonjakan baharu kepada tawaran PH pada pilihan raya umum.”

Menurut Saifuddin, apa yang penting sekarang adalah untuk PH mengekalkan sokongan bukan Melayu, dan kemudian menembusi kawasan pedalaman, terutamanya penempatan Felda dan kampung.

“Itulah yang dilakukan oleh pemimpin PH. Jika kita selesa dengan status quo, kita akan melakukan perkara sama berulang kali sambil mengharapkan keputusan yang dimahukan. Itu tidak baik.

“Mesti keluar daripada status quo, cuba sesuatu baharu.”

Pada 1998, majalah Newsweek menamakan Anwar sebagai “Asian of the Year”. Bagaimanapun, pada tahun itu juga, hubungan Dr Mahathir dan Anwar menghadapi krisis semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno.

Pemuda Umno, yang ketika itu diketuai oleh sekutu Anwar iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi, memberi notis mengatakan satu debat mengenai “kronisme dan nepotisme” akan diadakan.

Pada perhimpunan agung itu, buku “50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM” diedarkan.

Buku itu mengandungi dakwaan homoseksualiti dan juga tuduhan korupsi terhadap Anwar. Buku itu dikarang oleh Datuk Khalid Jafri, seorang bekas penyunting akhbar yang dikawal kerajaan, Utusan Malaysia, dan juga bekas ketua penyunting majalah yang gagal, Harian Nasional.

Anwar memperoleh injunksi mahkamah menghalang ederan buku itu dan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap pengarang itu kerana fitnah. Anwar menang ganti rugi sebanyak RM4.5 juta terhadap Khalid.

Pengarang buku itu dituduh dengan niat jahat menerbitkan berita palsu, dan polis diarah menyiasat kebenaran dakwaan tersebut.

Anwar ditahan pada 20 September 1998. Beliau kemudian dituduh dengan rasuah kerana didakwa campur tangan dalam siasatan polis ke atas dakwaan salah laku seksual terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.