KPN persoal bajet pasang CCTV di sekolah berisiko jenayah

Fuzi-Harun_cctv_sekolah_6003

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mempersoalkan bajet Kementerian Pendidikan yang mahu memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau perbuatan jenayah dan mengawal keselamatan sekolah.

Beliau yang menyokong langkah itu, bagaimanapun mencadangkan kementerian terbabit memikirkan bajet kewangan untuk memasangnya.

“Kita menyokong langkah dibuat itu satu perkara baik tetapi dari segi kedudukan kewangan saya rasa mungkin pihak mereka (Kementerian Pendidikan) perlu fikirkan.

“Adakah mereka mempunyai bajet untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat baharu seketeriat Aseanpol di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat.

Semalam dilaporkan, Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti sekolah berisiko tinggi yang memerlukan CCTV bagi memantau perbuatan jenayah dan mengawal keselamatan sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata senarai yang dimuktamadkan akan dimaklumkan kelak.

Kamalanathan mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung pemasangan CCTV dibuat di tempat awam dan tidak sekali-kali menceroboh privasi pelajar dan guru.

Fuzi juga tidak mengulas berapa banyak sekolah yang berisiko tinggi untuk dipasang CCTV.

Beliau berkata polis memang ditugaskan untuk memantau sekolah tetapi disebabkan kekurangan keanggotaan, ia menyukarkan mereka.

“Sebenarnya kita ada wakil kita di setiap sekolah. Pegawai perhubungan sekolah itu, sebab kementerian pendidikan pun mahu kita uruskan di semua sekolah di seluruh negara.

“Apabila kita nak letakkan secara tetap pegawai perhubungan di setiap sekolah agak sukar kerana keanggotaan kita kekurangan di sana sini,” katanya.

Kamalanathan: Pasang CCTV di sekolah berisiko tinggi pantau jenayah