
Sambil menggesa mereka meneruskan kerjasama itu, beliau berkata, kejayaan itu bukan pencapaian beliau seorang atau mana-mana individu.
Katanya, antara kejayaan Sabah adalah perubahan fizikal di ibu negeri itu dengan adanya kawasan pemuliharaan terbesar di negara ini.
Beliau berkata, ekonomi Sabah juga berkembang stabil dan pentadbiran negeri diperakui pelbagai pihak berkuasa, termasuk ketua audit negara.
“Episod kejayaan kita selama ini bukanlah pencapaian dan kejayaan saya secara individu sebagai ketua menteri atau menteri kewangan Sabah,” katanya pada perhimpunan tahunan pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri, hari ini.
Perhimpunan itu diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di mana terletaknya Jabatan Ketua Menteri.
Musa berkata, perkhidmatan awam perlu terus bekerjasama dengan pemimpin dipilih rakyat untuk memastikan Sabah terus maju.
Katanya, Sabah akan terus membangun kerana ia mempunyai syarat digariskan, termasuk kestabilan ekonomi dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Penambahbaikan berterusan sedang dilakukan untuk infrastruktur kami, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang akan menjadikan semua daerah mudah diakses,” katanya.
Selain kompleks 32 tingkat PPNS, perubahan pembangunan fizikal di Sabah termasuklah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan Jesselton Quay untuk kapal persiaran.
“SICC merupakan projek untuk menyediakan Sabah menjadi pusat MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) antarabangsa terkemuka.
“SICC direka untuk mendahului generasi dan menjadi pusat konvensyen terbaik setanding dengan MICE terkemuka di dunia. Kerajaan persekutuan khususnya perdana menteri memperuntukkan RM250 juta untuk projek ini.”
Beliau berkata, projek Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) juga akan mencantikkan lagi kawasan berhampiran Kota Kinabalu.
“TAED yang merupakan konsep pembangunan paling mampan di Malaysia dan rantau ini akan mewujudkan impak positif dan limpahan ekonomi, sosial serta kelestarian alam sekitar di negeri kita.
“Kerajaan Persekutuan khususnya perdana menteri memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan projek ini.”
Mengenai usaha pemuliharaan, katanya, Sabah berada di landasan betul mencapai 2.2 juta hektar kawasan perlindungan sepenuhnya dalam tempoh 5 tahun.
“Jumlah ini mewakili 30% daripada tanah kita dan melebihi syarat Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.”
Bagi mencapai matlamat ini, katanya, kerajaan negeri akan menghentikan pembalakan di kawasan utama seperti Hutan Simpan Ulu Segama dan Malua dekat Lahad Datu di pantai timur Sabah.
“Kita terpaksa melepaskan hasil sebanyak RM1 bilion kerana langkah itu, tetapi kita sanggup melakukannya demi kebaikan alam sekitar.”