Aktivis Islam tuduh Marina memilih dalam bersuara tentang hak wanita

Rafidah-Hanim_marina_hotel_600

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan wanita Islam yang sebelum ini membongkar larangan tudung oleh beberapa hotel ke atas pekerja Islam, mengkritik Datin Paduka Marina Mahathir, menuduh anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad itu memilih dalam membela hak wanita Islam.

Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang mengetuai Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) berkata Marina berdiam diri semasa kecoh kontroversi larangan bertudung terhadap pekerja wanita di hotel, tetapi lantang bersuara mengecam insiden di mana seorang lelaki menyerang sekumpulan wanita Islam kerana tidak memakai tudung.

Rafidah berkata lelaki yang dilihat dalam video klip yang tersebar luas itu “tidak mewakili majoriti Islam di Malaysia”.

“Ramai orang Islam mengecam insiden itu. Tindakan salah seorang lelaki tidak sepatutnya menjadi bukti kepada apa yang dipanggil sebagai ‘kesan negatif Islamisasi’,” katanya.

Rafidah berkata insiden itu tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan amalan diskriminasi oleh sesetengah hotel yang melarang pekerja wanita Islam memakai tudung.

“Sangat mengecewakan apabila Marina memilih untuk fokus insiden janggal yang terjadi baru-baru ini di mana seorang lelaki menampar seorang wanita tidak bertudung, daripada isu semasa berkenaan diskriminasi agama sistematik di mana pekerja wanita di cawangan hotel taraf antarabangsa dilarang memakai tudung,” tambahnya.

Satu rakaman tersebar luas di media sosial menunjukkan seorang lelaki memarahi sekumpulan wanita Islam di hentian bas kerana tidak memakai tudung, sebelum dia menampar salah seorang daripada mereka.

Marina dilaporkan mengaitkan insiden itu dengan penularan Islamisasi, sesuatu yang beliau suarakan sebelum ini dan menjadi fokus buku terbarunya “Illusions of Democracy”.

Rafidah juga mengkritik Marina terhadap pendirian Marina berkenaan Arabisasi dalam kalangan Islam di Malaysia.

“Kebetulan pula, ia juga ironik sementara (Marina) mengecam ‘Arabisasi’, beliau memilih untuk menamakan gerakan yang diasasnya pada 2009 sebagai ‘Musawwah’. Mengapa guna istilah Arab, bukan perkataan Melayu?” soalnya.

Musawwah yang bermaksud kesamarataan adalah gerakan yang memperjuangkan hak wanita Islam.

“Daripada menjadi kritikal terhadap elemen pemakaian tidak signifikan yang dikaitkan secara salah dengan ‘Arabisasi’, sudah tiba masa Marina menunjukkan sikap konsisten dan menegakkan hak wanita yang mahu memakai tudung dan masih trauma dan tertekan kerana tidak mampu memakai tudung disebabkan diskriminasi agama sistematik oleh entiti lebih berkuasa,” kata Rafidah.