Ketua Umno Beruas nafi tampar cucu Nik Aziz

Ketua Umno Beruas nafi tampar cucu Nik Aziz

Azhar Ahmad berkata dakwaan tular di media sosial tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ketua Umno Beruas Azhar Ahmad seru semua pihak meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas. (Gambar UMNO)
PETALING JAYA:
Ketua Umno Beruas Azhar Ahmad nafi menampar seorang penuntut yang juga cucu bekas pemimpin PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu), Janda Baik, Pahang, pada 20 Mei lalu.

Beliau berkata, dakwaan tular menerusi rakaman video di media sosial itu tidak benar dan tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku.

Katanya, insiden berlaku selepas beliau selesai menyampaikan syarahan dan berjalan ke dewan makan sebelum diperkenalkan kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

“Ketika itu saya dimaklumkan beliau anak saudara kepada sahabat saya. Dalam suasana mesra, saya bersalaman dan menyentuh pipinya sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan saya dengan keluarganya.

“Tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti didakwa,” katanya menurut Kosmo.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video mendakwa Azhar menampar seorang penuntut semasa program berkenaan.

Azhar berkata, kejadian berlaku secara terbuka di hadapan beberapa pihak termasuk pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, urus setia program dan peserta berada di lokasi ketika itu.

Beliau kesal terhadap penyebaran rakaman video yang menurutnya tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

“Saya menyeru semua pihak meneliti fakta sebenar dan tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas.

“Saya juga menyimpan segala hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu yang menjejaskan reputasi saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.