
Bercakap kepada FMT, Carol Yip berkata tabiat seperti itu perlu ditanam dari usia kecil.
“Untuk menjumpai seseorang yang menyimpan sedikit daripada pendapatannya adalah sukar. Mereka benar-benar perlu mendorong diri mereka melakukannya,” kata Yip.
Yip menjawab kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim pada Jumaat yang mengatakan 75% rakyat tidak dapat menyediakan RM1,000 untuk kecemasan.
Ibrahim berkata ramai yang kurang mahir menguruskan kewangan dan tidak dapat membuat perbelanjaan yang bijak.
Yip berkata jika orang ramai tidak mempunyai disiplin untuk menyimpan wang untuk digunakan semasa waktu kritikal, mereka harus “memaksa” diri mereka untuk memotong jumlah tertentu daripada gaji mereka setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun “kecemasan”.
Yip yang juga ketua pegawai eksekutif Aged Care Group dan pakar dalam pendidikan kewangan peribadi dan persaraan mampan, berkata ini akan menjadi “simpanan terpaksa” untuk waktu kecemasan.
Beliau juga menyifatkan kecenderungan berboros disebabkan penggunaan kad kredit dan pengaruh gaya hidup.
“Tidak menghairankan perbelanjaan kad kredit boleh melampaui kemampuan kewangan seseorang untuk menyelesaikan bayarannya setiap bulan.”
Tahun lepas, kerajaan berkata terdapat 3.6 juta pemegang kad kredit utama mempunyai hutang tertungak sebanyak RM36.9 bilion pada Jun 2017.
Ia juga melaporkan 294,000 orang diisytiharkan muflis kerana tidak dapat menyelesaikan pinjaman kereta, rumah, peribadi atau kad kredit. Sesetengah daripada mereka adalah penjamin bagi mereka yang tidak membuat pembayaran.
Perancang kewangan, Wilfred Lim berkata kekurangan tabiat menabung juga dapat dilihat di negara lain.
“Mereka tidak berapa faham tujuan ‘tabung kecemasan’.
“Di samping itu, pendapatan rendah dan kos sara hidup yang tinggi juga membuat orang lebih banyak berbelanja.”
Lim berkata secara ideal, orang ramai harus menyediakan perbelanjaan sekurang-kurangnya 6 bulan dalam akaun kecemasan.