Graduan jadi pemandu Uber kerana tiada kerja sesuai

Graduan jadi pemandu Uber kerana tiada kerja sesuai

Graduan tempatan yang ditemu bual FMT berkata, disebabkan pilihan terhad atau langsung tiada pilihan, mereka terpaksa bekerja sebagai pemandu syarikat e-hailing dengan keadaan ekonomi semasa.

car-driver-uber-1
PETALING JAYA: Graduan yang menjadi pemandu syarikat perkongsian kenderaan tidak kesal membuat pilihan itu kerana wang yang diperolehi, walaupun publisiti negatif baru-baru ini.

Graduan tempatan yang ditemu bual FMT berkata, disebabkan pilihan terhad atau langsung tiada pilihan, mereka terpaksa bekerja sebagai pemandu syarikat e-hailing dengan keadaan ekonomi semasa.

Mereka bagaimanapun sudah biasa dengan kerja itu dan mendapati ia menarik kerana kebebasan dan pendapatan yang diperolehi.

Khairul Adzim, 24, yang mengambil jurusan teknologi automotif, berkata beliau mula bekerja dengan Uber kerana susah mencari kerja dalam bidangnya dan kini mendapati kerja sebagai pemandu menarik.

Katanya, jika beliau diambil bekerja dalam industri automotif, gajinya tidak seperti sekarang.

Sebelum bekerja dengan Uber, beliau tidak pernah mempertimbangkan kerrja itu sebagai kerjaya.

“Rakan saya yang cadangkan. Mulanya saya tidak berminat. Tetapi, apabila sudah biasa, rasa seronok,” katanya.

Mohd Ariff Roslan, 29, bekerja sebagai pemandu Uber hampir 2 tahun, berkata lebih mudah menjadi pemandu perkongsian kenderaan daripada mencari kerja dalam industri lain.

Katanya, graduan terutamanya yang baru menamatkan pengajian sukar mendapat kerja bergaji besar kerana banyak syarikat mahu pekerja berpengalaman.

“Jika dilihat, kos sara hidup memang tinggi. Habis belajar perlu tampung pinjaman pendidikan, dan ada yang mahu mohon pinjaman untuk beli kereta dan rumah. Di situ sudah banyak duit diperlukan,” katanya sambil menambah kerajaan harus berusaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan profesional untuk graduan muda.

Isu itu menjadi tumpuan media pada 17 Januari lalu apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kesal ramai graduan terpaksa menjadi pemandu perkongsian kereta atau menjual nasi lemak untuk menyara hidup.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, keadaan itu memalukan dan tidak patut ditunjukkan kepada media sebagai kejayaan.

Katanya, peningkatan jumlah graduan tidak bekerja berdasarkan apa yang dipelajari secara akademik membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Abdul Malik, 27, bersetuju tiada jaminan untuk graduan mendapat pekerjaan sejajar apa yang dipelajari di universiti.

Katanya, beliau memperoleh pendapatan hampir RM3,000 setiap bulan sebagai pemandu Uber sepenuh masa dan menganggap ia munasabah kerana susah mendapat kerja.

“Saya menggunakan kereta sendiri, (dengan menjadi pemandu Uber) saya mampu membayar pinjaman kereta, bil dan perbelanjaan makan. Jadi, saya tidak perlu susahkan sesiapa.”

Johan Nawawi, 30, yang memiliki ijazah dalam kejuruteraan sivil, berdepan kesukaran mendapat kerja sesuai selepas dibuang sebuah syarikat binaan.

“Ada juga saya cuba mencari kerja, tetapi panggilan temu duga pun tidak dapat,” katanya.

Beliau bekerja sebagai pemandu Uber selama setahun setengah untuk menampung perbelanjaan harian.

Dr M tak bangga graduan jual nasi lemak, jadi pemandu Uber

Khairy persoal Dr M ‘kutuk’ graduan jual nasi lemak, pandu Uber

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.