Hadi: PAS wajib selamatkan rakyat daripada calon ‘kitar semula’

Hadi: PAS wajib selamatkan rakyat daripada calon ‘kitar semula’

Presiden PAS itu bimbang pengaruh media sosial akan menjadikan tentera upahan musuh Islam.

awanghadi-pas (1)
PETALING JAYA:
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mempunyai kewajipan menyelamatkan rakyat, khasnya orang “Melayu mudah lupa” daripada memilih calon dikitar semula.

Presiden PAS itu bimbang pengaruh media sosial akan menjadikan tentera upahan musuh Islam.

“PAS terus memilih demokrasi yang sinonim dengan ajaran Islam, bukannya demokrasi yang menipu rakyat yang masih jahil dan bodoh politiknya.

“PAS wajib memperkenalkan budaya politik damai tanpa perpecahan rakyat, sama ada kalangan umat Islam yang berbeza pendekatan dan rakyat bukan Islam yang berbeza agama dan budaya.

“PAS menegaskan Islam wajib memimpin dan memerintah atau mempengaruhi pemerintah dengan nasihat yang wajib menegakkan konsep adil terhadap semua dan memelihara hak asasi manusia tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan Hadi itu dipercayai merujuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih sebagai calon perdana menteri gabungan 4 parti pembangkang itu pada 7 Januari lalu.

Dr Mahathir kemudiannya mencabar PAS mendedahkan sama ada parti Islam itu menyokong dirinya atau Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa pemimpin Barisan Nasional pula menyifatkan pemilihan Dr Mahathir sebagai calon kitar semula.

Ia termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pernah menjadi ketua Pemuda Umno di bawah kepimpinan Dr Mahathir pada lewat 1990-an, berkata langkah itu akan memberi peluang kepada bekas perdana menteri itu mengulangi semula kesalahannya.

Sementara itu, Hadi berkata, PAS akan bertanding seberapa banyak kawasan yang dikehendaki mereka kerana “cita-cita memerintah negara bukan angan-angan Mat Jenin yang memanjat pokok berbuah sahaja”.

“Budaya PAS bukan memanjat pokok yang berbuah, tetapi sanggup memanjat pokok yang tidak berbuah dan belum berbuah kerana keyakinannya akan berbuah apabila tiba masanya, kalau dibajakan atau dicantas dahannya. PAS sabar berlalunya masa yang panjang, biar lambat asalkan selamat.”

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS akan menggunakan konsep ta’awun untuk bertanding dalam pilihan raya umum tanpa berkelahi dan berpecah.

Pada 21 Januari lalu, Hadi dilaporkan berkata, PAS akan bertanding di sekurang-kurangnya 130 daripada 22 kerusi Parlimen untuk mendapat majoriti mudah dan mungkin bergabung dengan parti lain untuk membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“PAS mahu bentuk kerajaan atau menyertai pembentukan kerajaan, bukan lagi sebagai pembangkang yang lemah selepas PRU,” katanya lebih seminggu lalu.

Dua hari kemudian, Dr Mahathir menyifatkan PAS memasang “angan-angan Mat Jenin” kerana sejak diasaskan pada 1951, parti Islam itu tidak pernah mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Angan-angan Mat Jenin…hebat! Dalam sejarah PAS juga mereka sentiasa memerintah negara,” katanya secara sinis, Selasa lalu.

Pada PRU13, PAS memenangi 21 daripada 73 kerusi Parlimen ditandinginya. Enam daripada 21 kerusi Parlimen itu kini disandang ahli Parlimen Amanah, parti serpihan PAS.

PAS turut kehilangan satu lagi kerusi Parlimen, iaitu Pokok Sena apabila Datuk Mahfuz Omar mengumumkan keluar parti itu awal tahun ini.

Dr M cabar PAS namakan calon perdana menteri mereka

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.