
Jabatan berkenaan memaklumkan penubuhan bahagian itu penting kerana ia akan menjadi “focal point” (tumpuan utama) bagi isu syariah yang dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“Antaranya yang berkaitan dengan nasihat undang-undang, penggubalan dan penyelarasan undang-undang syariah, ratifikasi sesuatu konvensyen antarabangsa yang mempunyai kesan kepada aspek syariah dan pengharmonian antara undang-undang sivil dengan undang-undang syariah bagi mengatasi konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.
“Berdasarkan Fasal (2) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kewajipan menasihati Yang di-Pertuan Agong, jemaah menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Peguam Negara berharap penubuhan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang Syariah itu dapat memastikan penyampaian perkhidmatan Jabatan Peguam Negara berhubung isu syariah dilaksanakan dengan lebih efektif dan berkesan seiring keperluan semasa.