
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata setakat ini polis tidak menerima kes seperti itu di negeri selain Pulau Pinang dan percaya sindiket yang mencampurkan dadah ke dalam kopi pracampuran itu tidak sempat memasarkannya.
“Melalui siasatan awal polis, kopi dicampur dadah ini dipercayai untuk dijual di pusat hiburan, sama seperti kes minuman dicampur dadah lain, bagaimanapun atas sebab tidak diketahui kopi ini dibuang ke kawasan pembuangan sampah di Taman Ria, Air Itam Pulau Pinang sebelum ditemui orang awam.
“Mungkin orang awam yang melihat kopi itu adalah ‘brand’ mahal, kopi itu diambil dan dibawa pulang sebelum diberikan kepada rakan-rakan lain tanpa diketahui isi kandungannya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli.
Kang berkata polis kini giat mengesan individu atau sindiket terlibat cuba mengedar peket kopi segera berperisa durian tersebut di Pulau Pinang.
Jumaat lepas, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar dilaporkan berkata berdasarkan ujian analisis sampel kopi dijalankan pegawai teknologi makanan, makmal keselamatan dan kualiti makanan Pulau Pinang terdapat kandungan dadah namun belum dapat dipastikan jenisnya.
Katanya hasil analisis sampel peket kopi yang diberikan seorang wanita tidak dikenali kepada 2 pengawal keselamatan itu juga menunjukkan peket tersebut dibuka dan dilekatkan semula kerana bahagian bawah peket menunjukkan kesan koyak selain tambahan lebih 10 gram (g) daripada berat asal iaitu 40 g kepada 50 g.
Seramai 5 individu termasuk 2 wanita mendapatkan rawatan di HPP selepas mengalami gejala letih dan lemah teruk malah ada yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai minum sejenis kopi sejak Ahad hingga Selasa.
Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 62 tahun ditahan di wad untuk pemerhatian dan dijalankan beberapa ujian. Tiga daripada mereka dibenarkan keluar wad selepas keadaan bertambah baik.