BUTTERWORTH: Beberapa maklumat baru mula timbul mengenai rentetan kejadian yang membawa kepada kematian M Vasanthapiriya, pelajar Tingkatan 2 yang cuba membunuh diri selepas meninggalkan nota menafikan tuduhan dia mencuri iPhone milik gurunya.
Seorang pekerja kantin di SMK Methodist di Nibong Tebal berkata, guru wanita itu membawa Vasanthapiriya ke kantin antara jam 4.30 petang hingga 5 petang pada 17 Januari, beberapa jam sebelum remaja itu ditemui tenat dalam keadaan tergantung di biliknya.
“Guru wanita itu membawa Vasanthapiriya ke kantin. Dia memesan Milo ais dan duduk di hujung sebuah meja panjang,” kata pekerja itu yang enggan dinamakan kepada FMT.
Pekerja terbabit berkata Vasanthapiriya kelihatan tidak ceria.
“Dia tunduk ke bawah, dan kelihatan agak takut. Saya tersenyum kepadanya, tetapi dia tidak membalas. Jadi saya hanya membiarkannya,” kata pekerja itu sambil menambah kantin itu menunggu untuk ditutup selepas waktu rehat sesi petang.
Ibu bapa gadis itu sebelum ini mendakwa dia dikurung dalam sebuah bilik di sekolahnya hampir 5 jam tanpa makanan atau dibenarkan ke tandas, selepas guru terbabit menuduhnya mencuri iPhone.
Dalam laporan polis, ibu bapa Vasanthapiriya mendakwa guru terbabit dan suaminya membawa anak perempuan mereka pulang ke rumah, mengancam akan membawanya kepada polis jika dia tidak mengaku atas tuduhan tersebut.
Remaja itu kemudian lari ke biliknya, sementara ibu bapanya dan penuduhnya keluar rumah untuk menyelesaikan perkara itu, menurut laporan itu.
Ketika itulah Vasanthapiriya cuba membunuh diri. Setibanya di rumah pada 8.20 malam, bapanya memecah pintu bilik apabila anaknya tidak menyahut.
Dia didapati tidak sedarkan diri tetapi masih hidup, tergantung pada selendang yang diikat pada paip pendingin hawa, dan kakinya tersentuh pada lantai.
Dia juga meninggalkan satu nota yang berkata: “Saya tidak curi telefon cikgu.”
Vasanthapiriya dikejarkan ke hospital dan selepas seminggu, meninggal dunia pada awal 1 Februari lalu.
Kantin kecil di SMK Methodist itu dikongsi pelajar sekolah rendah dan menengah.
Menurut pekerja yang sama, Vasanthapiriya berada kira-kira 30 minit di situ dan tidak menghabiskan minumannya.
“Kami biasa melihatnya di kantin. Dia selalu tersenyum. Kami sangat terkejut perkara ini berlaku kepadanya.”
Ramai yang marah dengan kematian Vasanthapiriya, dan mempersoalkan cara dia disiasat oleh guru sekolahnya.
Sementara itu, FMT difahamkan satu lagi dakwaan mengatakan guru tersebut percaya Vasanthapiriya menyerahkan iPhone tersebut kepada rakan sekolahnya yang tinggal berdekatan rumah Vasanthapiriya di Kampung Tong Hai, Nibong Tebal.
Jiran rakan sekolahnya itu berkata dia melihat guru itu dan suaminya tiba di rumah rakan sekolahnya kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian.
Menurutnya, guru itu bertanya kepadanya sama ada jirannya ada di rumah.
“Saya kenal guru itu. Dia datang ke rumah saya bertanyakan di mana rumah remaja tersebut,” kata wanita itu kepada FMT, yang anaknya juga belajar di sekolah yang sama.
“Gadis itu sangat rapat dengan Vasanthapiriya, saya rasa mereka rakan baik.”
FMT menghubungi Ketua Polis Pulau Pinang A Thaiveegan untuk mengesahkan rentetan kejadian yang didakwa oleh mereka yang ditemubual.
Selamat tinggal, Vasanthapiriya selamat dikebumi sebelah datuk