Rasuah: Pengarah JPS dibebas dengan jaminan RM100,000

jpsALOR SETAR: Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pada 29 Januari lepas, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Rendah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan pengarah berumur 60 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, pengarah tersebut direman 13 hari mulai 30 Januari hingga 11 Februari, manakala 2 pemilik syarikat berumur 39 dan 50 tahun yang turut direman bersama pengarah terbabit dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 (deposit) dengan seorang penjamin pada 5 Februari lepas.

Pada 29 Januari lalu, SPRM menahan seorang pengarah JPS berumur 60 tahun bersama pemilik 2 syarikat di pejabat SPRM.

Selain itu, SPRM turut menyita akaun bank berjumlah RM2.9 juta dan merampas wang tunai hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang ditahan itu.