Masidi yakin mampu pertahan Karanaan, selepas lalui gempa di Ranau

Masidi yakin mampu pertahan Karanaan, selepas lalui gempa di Ranau

Gempa bumi yang melanda Ranau pada 2015 adalah satu daripada tempoh paling mencabar buat adun Karanaan itu, tetapi ia mendorong beliau untuk berusaha memulihkan kampung halamannya.

Masidi-Manjun_baru
Adun Karanaan, Masidi Manjun.
KOTA KINABALU:
Pada pagi 5 Jun 2015, Datuk Seri Masidi Manjun menerima berita terburuk sepanjang 13 tahun beliau menjadi adun Karanaan, sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Ranau.

Satu gempa bumi melanda Gunung Kinabalu di Sabah, ikon “Donkey’s Ears”, batu di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu yang menyerupai sepasang telinga keldai, patah.

Ketika itu, beliau masih tidak tahu tahap kerosakan akibat bencana itu.

Kemudian, 18 orang dilaporkan terkorban dalam gempa bumi berukuran 6 skala Richter selama 30 saat itu.

Mangsa korban termasuk pendaki yang merupakan pelajar dan guru dari Singapura dan 4 malim gunung warga tempatan.

memorial_sabah
Satu plak peringatan didirikan untuk memperingati mangsa korban dalam gempa 2015 di Ranau.

Seramai 137 pendaki yang terperangkap di gunung itu akibat runtuhan batu besar, berjaya diselamatkan.

Bangunan di Ranau mengalami kerosakan teruk dengan yang paling menonjol ialah masjid daerah. Jalan raya turut terjejas oleh gempa bumi yang jarang berlaku itu dan dirasai di kebanyakan kawasan di daerah utara, pantai barat dan timur Sabah.

Ini adalah berita buruk buat mana-mana wakil rakyat, lebih-lebih lagi seorang menteri pelancongan. Tetapi, Masidi segera turun padang menilai graviti keadaan.

“Sejujurnya, saya mengharapkan yang terbaik. Hanya selepas saya berada di Ranau, saya dapati keadaan lebih teruk daripada saya fikirkan.

“Saya sangat sangat sedih…dukacita ialah perkataan yang saya akan gunakan. Saya benar-benar dukacita,” kata menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah itu.

kinabalu47
Keadaan di Gunung Kinabalu selepas dilanda gempa pada 2015.

“Bukan sebab ia (gempa bumi) sudah berlaku, tetapi kerana nyawa ramai orang terjejas.”

Beliau bergelut untuk mencari perkataan sesuai bagi menggambarkan kesan tragedi itu.

“Ia sangat peribadi bagi saya kerana ada nyawa terkorban dan ia adalah kampung halaman saya. Saya rasa bertanggungjawab, bukan kerana gempa bumi itu, tetapi saya berasal dari kawasan itu. Saya rasa bertanggungjawab untuk cuba menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Apa yang berlaku sudah terjadi. Walaupun anda menangis air mata darah, ia tidak akan menjadikannya lebih baik. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang perlu dilakukan dan pandang ke depan, pada kesejahteraan rakyat. Bagaimana kita membantu mereka yang terjejas akibat gempa itu?”

Katanya, usaha dilakukan untuk mempercepatkan pelepasan mayat mangsa kepada keluarga mereka, mencari badan amal untuk membantu keluarga terbabit dan pergi ke Gunung Kinabalu yang ditutup kepada pendaki susulan gempa itu, membukanya semula.

Masidi-Manjun2
Masidi (berbaju biru) berbual dengan rakyat di pasar pagi Ranau.

“Ramai orang, seperti malim gunung bergantung hidup kepada Gunung Kinabalu sebagai sumber pendapatan. Jadi, kita perlu fikirkan mereka juga. Kami berjaya menyambung semula operasi pendakian pada Disember 2016.”

Hampir 3 tahun berlalu sejak gempa itu melanda dan Ranau kini hampir kembali kepada normal.

“Senarai menunggu untuk pendaki menjangkau beberapa bulan sekarang,” kata Masidi yang lega.

Kerja membaiki dan meningkatkan jalan sedang dilakukan. Pembinaan semula masjid daerah sudah dimulakan bersama rancangan meningkatkan bekalan air di Ranau.

“Kerja akan bermula tahun ini untuk meningkatkan sistem air menggunakan teknologi dari Jepun. Saya akhirnya berjaya mendapatkan Petronas untuk menyumbang kos membina sebuah MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) di Ranau yang menelan belanja RM135 juta,” katanya sambil menambah kerja pembinaan akan bermula tahun ini.

Masidi-Manjun22
Masidi berkata, pengundinya tahu mereka boleh menghubungi beliau hampir setiap masa.

Masidi berkata, jika dicalonkan semula pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beliau yakin mampu mempertahankan kerusi itu, tetapi tidak memandangkan ringan kemampuan lawannya.

“Jika anda tanya peluang saya, saya rasa kempen saya ialah rekod prestasi saya. (Contohnya) Saya rasa kami membina lebih banyak jalan berbanding apa yang dilakukan mana-mana YB (wakil rakyat) di Ranau sebelum ini.

“Dan 99% kampung di Ranau mempunyai bekalan elektrik. Saya juga sentiasa boleh dihubungi, saya fikir hampir semua pengundi saya tahu nombor telefon bimbit saya. Saya rasa mereka gembira kerana hanya perlu menelefon atau WhatsApp YB,” kata Masidi yang gemar menggunakan media sosial.

Masidi-Manjun222
Masidi bergambar bersama seorang warga emas.

“PKR lebih mantap di Ranau, berdasarkan rekod prestasinya. Dan mungkin juga STAR (Parti Reformasi Sabah). Sudah tentu Parti Warisan Sabah akan datang. Tetapi secara jujurnya, dan rendah hati, mereka semua sama sahaja.

“Saya tidak pernah memandang enteng pesaing saya, walaupun jika saya tahu parti itu tidak kuat,” kata penolong setiausaha Umno Sabah itu.

‘Sukar tetapi pertarungan baik’

Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua mengakui agak mustahil menewaskan Masidi di kerusi DUN itu.

Kenny-Chua7
Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua berkata, rakyat tidak tahan dengan BN lagi.

“Masidi akan menjadi pesaing sukar. Beliau turun padang dan melakukan kerjanya dan beliau ialah YB yang disukai ramai. Tetapi, ia akan menjadi pertarungan baik.”

Beliau bagaimanapun berkata, pengundi Ranau tidak tahan lagi dengan Barisan Nasional (BN) disebabkan kekurangan infrastruktur, kenaikan kos sara hidup dan harga minyak tidak tetap yang merupakan faktor utama.

Katanya, berdasarkan trend pada PRU13 dan prestasi semua calon PKR di kerusi Parlimen Ranau dan DUN Karanaan, Kundasang dan Paginatan, partinya mempunyai peluang baik untuk menang kali ini.

“Pada pilihan raya lalu, kami melakukan dengan baik kerana kami hanya kalah tipis. Kami kalah kerana perpecahan undi,”katanya sambil menambah PKR menyasarkan untuk bertanding di Ranau pada PRU14, walaupun ia masih berunding dengan parti pembangkang tempatan.

“Tetapi, walaupun kita mengambil kerusi DUN, kita akan lakukan dengan baik. Mereka (rakyat) lihat apa yang mereka hadapi sekarang dan mereka patut sedar ia bukan kehidupan baik di bawah BN.”

Katanya, jentera PKR di Ranau, di bawah kepimpinan Ketua Bahagian, Jonathan Yassin, tidak berhenti kerja sejak PRU13.

“Mereka turut menembusi kawasan yang kononnya penyokong tegar BN di pedalaman Ranau.”

Pada Mei 2013, Masidi mendapat 6,292 undi mengalahkan bekas pengarah pendidikan negeri dan calon PKR, Datuk Dr Muhiddin Yusin yang meraih 2,792 undi.

Jalidin Paidi dari STAR mendapat 1,067 undi, manakala calon bebas, Mat Jaili Samat sekadar memperoleh 31 undi.

Kira-kira 84% daripada 12,456 pengundi di Ranau terdiri daripada Bumiputera bukan Islam, 11% Bumiputera Islam dan Cina kira-kira 5%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.