Namewee pertahan video ‘anjing’, nafi dirakam depan masjid

Namewee-says-video-is-just-for-entertainmentPETALING JAYA: Penghibur kontroversi Namewee mempertahankan video “Like a Dog” dan berkata video sempena Tahun Baru Cina itu hanya hiburan dan tidak berniat menghina agama.

Beliau juga berkata dakwaan penggambaran video itu dibuat di depan masjid adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.

“Mungkin anda rasa ada kelakukan tidak senonoh dalam muzik video tersebut, tetapi ia hanyalah untuk hiburan sahaja…tiada niat untuk menghina mana-mana agama ataupun bangsa.

“Penggambaran muzik video ini dibuat di kawasan lapang dari sebarang aktiviti yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya dan bukannya masjid.

“Bangunan di belakang yang terletak lebih kurang dalam lingkungan 1 kilometer ialah pejabat perdana menteri. Tengok betul-betul,” katanya.

Namewee berkata demikian dalam satu video penjelasan yang dimuatnaik di Youtube. Video “Like a Dog” memaparkan penghibur itu menyanyikan tentang bunyi-bunyian salakan anjing di serata dunia, sambil diiringi penari yang memakai topeng menyerupai kepala anjing.

Dalam video itu, anjing Malaysia mengeluarkan bunyi “mari-mari, wang wang”, dipercayai merujuk kepada gejala rasuah di negara ini.

Namewee berkata sebarang komen dan kritikan adalah pendapat peribadi dan tidak melibatkan mana-mana parti politik.

“Jika anda rasa saya adalah pengintip dari parti pembangkang, atau menerima duit dari mereka, maaflah kerana saya langsung tidak mengenali sesiapa dari pihak parti pembangkang.

“Padahal saya lebih mengenali mereka yang berasal dari parti pemerintah dan beberapa pegawai kerajaan. Ini kerana saya seorang seniman dan adakalanya perlu memohon di pejabat kerajaan tetapi selalu ditolak,” katanya.

Video itu dimuat naik 10 Februari lalu mendapat tontontan hampir setengah juta orang. Video tersebut diakhiri dengan bunyi siren kereta polis sementara Namewee dan penarinya melarikan diri.

Sementara itu, Pemuda Umno hari ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat video penghibur kontroversi itu.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohamad Rafii berkata ramai yang mengikuti karya Namewee tahu penghibur itu menyimpan perasaan benci terhadap Malaysia dan orang Melayu.

“Video terbaru beliau yang sengaja menunjukkan latar belakang masjid dan anjing amat menghina rakyat Malaysia.

“Kita kena bersama mengekang bentuk karya yang memperlekehkan dan menghina agama mahupun bangsa kerana akan menerbitkan perasaan mahu menghina sesama bangsa,” katanya dalam kenyataan.

Video ‘anjing’ Namewee mula dikongsi di laman sosial

Report: Zahid fears ‘lone wolf’ action against Namewee