Perayaan Tahun Baru Cina PBS serlah kesatuan BN

Perayaan Tahun Baru Cina PBS serlah kesatuan BN

Pimpinan BN terkemuka diketuai Ketua Menteri Musa Aman bersama-sama parti tertua Sabah, PBS meraikan Tahun Baru Cina.

cny-sabah-pbs-1
KOTA KINABALU: Perayaan tahunan Tahun Baru Cina Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berbilang kaum sekali lagi menyerlahkan kesatuan BN Sabah, dengan kehadiran semua presiden parti-parti komponen BN di Sabah.

Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Seri Madius Tangau tiba lebih awal bersama-sama pimpinan lain, lantas menghapuskan semua khabar angin kononnya PBS dan Upko tidak lagi bersependapat, terutama selepas pimpinan dan ahli Upko secara terang-terangan melobi untuk merangkul majoriti kerusi pilihan raya.

Tidak lama kemudian Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk Seri Teo Chee Kang disusuli Pengerusi Gerakan Sabah Datuk Gordon Leong dan Pengerusi MIC Sabah Datuk V Jothy.

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mengetuai delegasi pimpinan Umno ke majlis itu, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Musa berkata penyerlahan kesatuan ini kerana semangat setiakawan dan persaudaraan dalam BN, dan atas sebab itu BN mampu membangunkan Sabah.

“Di Sabah, kami sentiasa bersatu dan saya harap kesatuan ini akan berterusan kerana negeri ini lebih mudah diuruskan selagi kita bekerjasama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Musa akui teruja melihat tahap kesatuan rakyat dan pimpinan mereka, termasuk ketua-ketua masyarakat yang datang beramai-ramai meraikan majlis hari ini.

“Harapan saya tahun ini ialah BN terus memerintah negeri supaya kita boleh kekalkan kesatuan seperti ini dalam kalangan rakyat,” katanya.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, selaku tuan rumah, menzahirkan harapan rakyat akan terus memberi mandat kepada BN pada pilihan raya akan datang.

“Apa yang kita saksikan hari ini, kesatuan, keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat semuanya kerana usaha berterusan BN.

“Seperti yang boleh kita lihat, apa yang BN lakukan selama ini membuahkan hasil. BN memastikan pembangunan mantap dan mampan yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Sebab itulah kita harus berterima kasih kepada BN dan terus menyokong kerajaan yang mempunyai rekod prestasi terbukti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.