Anwar selesai jalani pembedahan kecil di HKL

Anwar selesai jalani pembedahan kecil di HKL

Keluarga Anwar berkata, prosedur kecil itu berjalan dengan lancar dan Anwar kini dibenarkan berehat serta menerima rawatan susulan di Hospital Rehabilitasi Cheras.

anwar-reuters
Gambar Reuters
PETALING JAYA:
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani satu pembedahan kecil di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Keluarganya dalam satu kenyataan petang ini berkata, prosedur kecil pada 10 pagi itu dilakukan pasukan pakar Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HKL yang diketuai Datuk Dr Fazir bin Mohamad.

“Alhamdulillah, prosedur tersebut berjalan dengan baik dan lancar. Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dibenarkan kembali ke Hospital Rehabilitasi Cheras untuk berehat dan menerima rawatan susulan.

“Kami sekeluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan pembedahan tersebut, terutama sekali pasukan pakar Ortopedik dan Traumatologi HKL serta Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai yang turut hadir semasa prosedur tersebut dijalankan.”

Mereka juga berterima kasih kepada rakan yang mendoakan kejayaan prosedur hari ini dan kesihatan bekas ketua pembangkang itu.

Anwar kali terakhir menjalani pembedahan “artroskopik” di HKL pada 12 November lalu, susulan kecederaan di bahu yang pada asalnya disebabkan kemalangan pada 2014 di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Beliau sudah menjalani fisioterapi, tetapi kesakitan itu semakin teruk.

Keadaan Anwar merosot selepas kemalangan pada 22 September 2017, apabila kenderaan pengiring melanggar bahagian belakang kenderaan penjara yang membawa beliau dari HKL ke penjara.

pada 7 Januari lalu, Jabatan Penjara mengesahkan Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun ini, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan berhubung kesalahan liwat terhadapnya.

Anwar dituduh meliwat bekas pekerja pejabat PKR, Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Beliau bagaimanapun menolak tuduhan itu sebagai fitnah untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Pembedahan bahu Anwar berjaya, kata keluarga

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.