Syabas lanjut tempoh gangguan air Lembah Klang kerana sistem pecah

Syabas_selangor_facebook
Gambar video Facebook

PETALING JAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memaklumkan gangguan bekalan air di Lembah Klang yang sepatutnya berakhir hari ini terpaksa dilanjutkan berikutan kemalangan di luar jangkaan.

Syarikat air itu berkata sistem mampatan udara (surge vessel) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pecah dan menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan bertugas.

Syabas menambah tarikh lanjutan tempoh gangguan bekalan air akan ditetapkan kemudian.

“Kerja-kerja pembaikkan telah siap dilaksanakan lebih awal dari masa yang ditetapkan iaitu pada jam 5.00 petang 6 Mac 2018 dan insiden berlaku semasa persediaan untuk mengaktifkan semula pengoperasian loji.

“Kejadian ini telah menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan yang bertugas di tapak dan pihak Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) telah memaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Jabatan dan Keselamatan Pekerja (DOSH).

“Susulan daripada insiden yang tidak dijangka ini, masa pemulihan bekalan akan tersasar dari jadual asal,”kata Syabas dalam kenyataan.

Terdahulu, Syabas berkata sebanyak 427 kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini berikutan kerja-kerja pembaikan peralatan kritikal selama 10 jam di LRA SSP3.

Antara kawasan yang terlibat Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Untuk senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air, pembaca boleh melayari laman web www.syabas.com.my.

Syabas turut mengaktifkan 9 lokasi Pusat Khidmat Setempat (PKS) selama 24 jam berikutan gangguan bekalan air ini.

Lembah Klang kering, Syabas kerah lebih 80 lori tangki