ECRL tawar peluang pekerjaan kepada 3,600 penuntut

ECRL tawar peluang pekerjaan kepada 3,600 penuntut

Mereka boleh diserap ke dalam projek berkenaan termasuk LRT dan MRT serta HSR antara Malaysia dan Singapura.

hsr
KUALA LUMPUR:
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melatih dan menawarkan pekerjaan kepada 3,600 penuntut yang lengkap dengan kemahiran teknologi kereta api, langkah ditetapkan untuk meningkatkan kebolehan bekerja golongan muda khususnya dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata latihan bagi graduan dan pekerja berkemahiran dalam teknologi rel, tepat pada masanya memandangkan projek infrastruktur besar-besaran sedang dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, mereka boleh diserapkan ke dalam projek berkenaan termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) serta Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura.

“Teknologi kereta api sedang berkembang pesat di Malaysia,” katanya semasa menjawab soalan dalam program perniagaan “Special Interview” oleh Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini.

MRL merupakan pemilik projek ECRL sepanjang 688km bernilai RM55 bilion, menghubungkan Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor apabila siap pada 2024.

Beliau berkata penting bagi rakyat Malaysia untuk mampu menguruskan dan mengendalikan ECRL selepas pembinaannya.

Darwis berkata Malaysia akan mempunyai lebih banyak pekerja kereta api untuk memenuhi industri itu yang pastinya berkembang pesat, menerusi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) ECRL seiring tumpuan kerajaan kepada infrastruktur rel.

Program latihan itu, PLKI-ECRL, merupakan hasil kerjasama antara MRL, kontraktor siap guna China Communications Construction Company (CCCC) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Penumpuan kepada bidang reka bentuk dan pembinaan landasan kereta api akan melengkapkan rakyat tempatan dengan kemahiran diperlukan untuk bekerja dalam projek tersebut,” katanya.

UMP dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai universiti tumpuan untuk menyelaras latihan berkenaan, katanya.

Sukatan pelajaran program latihan itu dirangka oleh Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong University, 2 universiti terkemuka dari China yang turut berperanan sebagai rakan kongsi latihan teknologi kereta api CCCC.

Darwis berkata, menerusi PLKI, UMP semakin hampir membangunkan program kejuruteraan kereta api pada masa depan.

ECRL dijangka mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia semasa tempoh pembinaannya manakala 6,000 pekerjaan lagi akan ditawarkan semasa pengoperasiannya.

Justeru, latihan merupakan bahagian penting dalam menyokong projek mega tersebut.

Sehingga 3,000 penuntut akan dilatih menerusi program itu mulai 2017 hingga 2022 dan ditaja CCCC dengan kos RM23 juta, katanya.

Darwis berkata kesemua graduan yang dilatih akan diserap oleh MRL, CCCC atau subkontraktornya.

Sejumlah 49 penuntut menamatkan pengajian sebagai profesional manakala setakat akhir bulan lepas 138 graduan lagi sebagai pekerja berkemahiran.

Beliau berkata, menjelang akhir tahun ini, program itu melatih 750 pekerja atau 25% daripada sasaran dijangka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.