
Pertanyaan dengan agen mencari kerja mendapati ianya mudah untuk mendapatkan pekerjaan di republik itu, jika anda sanggup bekerja secara haram.
Menurut agen, rakyat Malaysia biasanya akan masuk ke Korea Selatan dengan visa pelancong yang hanya bertahan untuk 3 bulan, kemudian terus melanjutkan tempoh mereka di negara itu dan bekerja secara haram.
Salah satu agen berkata mereka yang mencari kerja perlu serahkan pasport dan lebih kurang RM2,500 dan semuanya akan “diuruskan”.
Wang itu untuk tempat tinggal, tiket pergi balik dan yuran lain
“Orang ramai sanggup kerana mereka mampu menjana sehingga RM10,000 sebulan. Itu tidak termasuk lebih masa,” kata seorang agen lagi.
Agen itu berkata mereka yang bekerja secara haram perlu berhati-hati agar tidak dikesan oleh pihak berkuasa imigresen.
“Itu risikonya. Mereka perlu sentiasa berhati-hati. Kemungkinan dikesan adalah tinggi.
“Kadangkala, imigresen akan serbu tempat kerja untuk memeriksa jika ada orang asing bekerja secara haram.
“Jika mereka ditangkap, mereka akan dihantar ke pusat tahanan dan disenaraihitamkan daripada memasuki Korea Selatan untuk 3 tahun,” katanya.
Agen itu juga memberi amaran, mereka yan bekerja secara haram tidak akan diberikan pampasan jika tercedera atau sakit kerana mereka tiada perlindungan insurans.
Mereka yang ke Korea Selatan mencari kerja biasanya bekerja di ladang buah atau cendawan, kilang, dalam logistik atau sebagai tukang cuci.
Akhbar The Star baru-baru ini melaporkan sesetengah rakyat Malaysia di Korea Selatan hidup seperti pelarian, dan selalu bersembunyi daripada pihak berkuasa. Mereka antara 5,000 rakyat Malaysia yang dianggarkan bekerja dan tinggal di Korea Selatan secara haram.
Laporan itu mengatakan ramai rakyat Malaysia terperangkap dan hidup dalam kemiskinan. Sesetengahnya mempunyai kecacatan seumur hidup selepas mengalami kemalangan di tempat kerja dan tidak cukup wang dan tiada tempat tinggal selepas dipecat majikan.
Mereka pergi ke Korea Selatan kerana terpedaya dengan iklan pekerjaan yang mendakwa mereka boleh menjana pendapatan lumayan. Mereka membayar agen perekrutan ribuan ringgit untuk yuran dan memasuki negara itu dengan visa pelancong, kata laporan itu.
Rakyat Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Afiq, adalah seorang “veteran” apabila bercakap tentang bekerja secara haram di Korea Selatan
Katanya kepada FMT, beliau sudah bekerja di negara itu 3 kali menggunakan hanya visa pelancongnya.
Afiq berkata beliau boleh menjana sehingga RM15,000 sebulan jika beliau bekerja lebih masa.
Beliau mengaku beliau terpaksa sentiasa berjaga-jaga dengan serbuan imigresen dan berhati-hati dengan pergerakannya.
“Kami perlu menyimpan pasport dan dokumen pengenalan kami dengan selamat.
“Jika kami mohon permit bekerja, kami perlu belajar bahasa mereka dan lulus dahulu. Jika gagal, kami perlu ulang semula.
“Ia lebih mudah untuk ke sana menggunakan visa pelancong. Tetapi risiko tinggi, kerana kami hanya seperti warga Indonesia atau Bangladesh yang bekerja secara haram di Malaysia,” katanya.