Kes banglo Guan Eng bermula

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendakwa tuduhan terhadapnya mempunyai motif politik. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan Phang Li Koon, atas pembelian banglo RM2.8 juta, bermula di Mahkamah Tinggi hari ini.

Mahkamah dijangka bersidang 23 hari di hadapan hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Pendakwaan akan memanggil lebih kurang 40 saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu.

Keselamatan di kompleks mahkamah Pulau Pinang dijangka diperketat, dengan penyokong Lim kemungkinan akan berkumpul di kawasan itu untuk menunjukkan sokongan.

Perbicaraan itu dijalankan hampir 2 tahun selepas Lim dan Phang dituduh.

Pada 30 Jun 2016, Lim, 55, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim juga berdepan satu lagi tuduhan menggunakan kedudukannya untuk membeli banglo daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, bawah nilai pasaran iaitu RM4.7 juta.

Sementara itu, Phang dituduh bersubahat.

Sebelum ini pihak pendakwaan meminta Lim dan Phang memfailkan pembelaan mereka, tetapi prosiding ditangguh buat sementara waktu memandangkan kedua-dua mereka mencabar keesahan Seksyen 62, Akta Anti-Rasuah Malaysia 2009, yang memerlukan tertuduh mendedahkan pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Pada Mac tahun lepas, Hadhariah mengenepikan usul Lim dan Phang untuk mengisytiharkan Seksyen 62 sebagai tidak berperlembagaan, tetapi ini diundur oleh Mahkamah Rayuan pada Ogos.

Mahkamah Persekutuan kemudian membenarkan rayuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memutuskan Lim untuk mmeberikan keterangan pembelaannya kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan rasuahnya bermula.

Panel 5 hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim, Tun Raus Sharif, tidak bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 62 Akta SPRM tidak berperlembagaan.

Raus berkata Seksyen 62, dibacakan bersama Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, tidak melanggar Perkara 5 (1) dan 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal kebebasan hidup dan peribadi, dan juga perlindungan undang-undang itu.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara efektif mengakhiri cabaran Lim dan Phang, dan kini mereka dibicarakan dalam perbicaraan yang mungkin disaksikan ramai, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Lim yang juga setiausaha agung DAP kekal mengaku tidak bersalah, memanggil kes itu satu persendaan keadilan. Beliau mendakwa tuduhan itu sengaja dibuat untuk menjejaskan negeri itu dan karier politiknya.

Adun Air Putih itu tidak menafikan kemungkinan perbicaraan itu menjejaskan kebolehannya untuk bertanding pada PRU14.

Lim juga berkata, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan menggantikannya jika beliau disabit bersalah dalam tuduhan rasuah itu.

Perbicaraan kes rasuah Guan Eng bermula esok