
Musa dalam ucapan di majlis anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Sandakan hari ini menegaskan kejayaan yang dinikmati Sabah bukan kerana usahanya seorang.
“Ini adalah pencapaian semua kakitangan awam. Ini adalah hasil kerja keras, sokongan, kerjasama dan komitmen anda semua dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
“Tanpa sokongan dan kerja keras anda, mustahil kita akan dapat capai tahap pencapaian setinggi ini.
“Sebagai pemimpin negeri ini, saya mengiktiraf dan sangat menghargai pengorbanan semua kakitangan awam kita.”
Musa berkata kakitangan awam bukan hanya pelaksana tetapi juga dalam kedudukan yang baik untuk memberi maklum balas mengenai prestasi dan keberkesanan dasar dan program akar umbi kerajaan negeri.
“Cuepacs boleh menjadi platform yang baik untuk ini,” katanya. “Saya dimaklumkan Cuepacs sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN).
“Saya mahu kita bukan sahaja terus bekerja bersama tetapi mahu melihat kerjasama dan hubungan rapat ini diperkuat menerusi pertemuan tahunan antara Cuepacs dan saya sebagai ketua kerajaan negeri.”
Musa percaya kerajaan dan kakitangan awam berada di laluan yang betul.
“Kami di platform terbaik untuk meneruskan kejayaan dan kemajuan ini,” katanya.
“Penjawat awam, bukan sahaja di ibu pejabat tetapi juga di peringkat daerah dan daerah kecil, adalah kawan dan rakan sepasukan. Saya harap kita akan terus bekerjasama sebagai satu pasukan.”
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda, Setiausaha Kerajaan Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani hadir di majlis itu, yang dihadiri lebih 1,000 kakitangan awam.