Ramlee ingatkan rakyat Semporna jangan jadi atas pagar

SEMPORNA: Pengundi di Semporna diingatkan agar tidak menjadi pengundi atas pagar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan sebaliknya menetapkan hati memilih parti yang berjasa membantu dan membawa pembangunan kepada mereka.

Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata pengundi juga tidak perlu memikirkan hubungan kekeluargaan atau terikat dengan individu yang meninggalkan parti dalam membuat pilihan.

“Pemimpin cuma alat penyampai bantuan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin ini silih berganti, saya sendiri alat kepada BN untuk membawa pembangunan kepada Semporna.

“Yang kekal itu kerajaan mulai parti Perikatan sehingga BN, dan yang ada pembangunan di kawasan luar bandar hari ini dan sebelumnya bukan kerana Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang buat tetapi BN buat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ramlee yang juga pembantu menteri kewangan Sabah berkata negeri itu menerima banyak manfaat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pelbagai bantuan disalurkan, berbanding zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

“Dulu Semporna seolah-olah tidak wujud,” katanya.