
Pada sidang media di Parlimen hari ini, beliau berkata sekiranya Lim bertanding di kerusi Parlimen itu pastinya akan menarik kerana ia memberi pilihan kepada rakyat memilih antara 2 parti itu.
“Ya, BN tidak menghantar saya ke tempat lain,” katanya mengesahkan beliau akan bertanding di situ.
Shahrir berkata pengundi Johor Bahru terdiri daripada 52% orang Melayu, 4% orang Cina dan 5% orang India.
“Pastinya ia akan jadi menarik sekiranya orang seperti saya mewakili BN dan Kit Siang mewakili DAP,” tambahnya.
Menurut laporan media, Lim dikatakan berminat untuk bertanding di Johor Bahru.
Pada PRU13, Lim terjun ke kerusi Gelang Patah dan menewaskan menteri besar ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan lebih 14,700 undi.
Shahrir, 68, sangat popular di Johor Baharu. Shahrir mempunyai sejarah turun naik bersama Umno, dan pernah dipecat pada 1986 dalam satu krisis dalaman.
Beliau kemudian bertanding di Johor Bahru sebagai calon bebas pada 1988 dan menang. Apabila dia kembali ke Umno sebagai calon BN pada 2004, Shahrir memenangi kerusi itu dengan meraih 88.13% daripada undi keseluruhan.
Bagaimanapun, margin kemenangan beliau merosot kepada 56.68% pada 2013.
Shahrir bercakap kepada pemberita selepas satu pelancaran buku “Malaysia Tanpa BN?” yang ditulis Ahmad Faris Abdul Halim di Parlimen hari ini.
Veteran BN itu sempat membidas pimpinan Pakatan Harapan yang masih membisu tentang kerusi yang akan ditandingi.
Beliau berkata umum tahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan bertanding di Pekan, timbalan perdana menteri di Bagan Datuk, Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam di Segamat dan Datuk Seri Mah Siew Keong di Teluk Intan.
Beliau berkata pengundi juga tahu di mana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan bertanding, “kemungkinan besar di Marang”.
“Tetapi di mana Dr Mahathir Mohamad, Kit Siang dan Mohamad Sabu akan bertanding?
“Apakah sebenarnya seorang wakil rakyat di mata mereka, seolah-olah mereka hanyalah mahu ‘membunuh’ pemimpin parti lawan,” katanya.
Beliau berkata keadaan ini menunjukkan strategi pembangkang bukanlah untuk mewakili rakyat di kawasan-kawasan yang ditandingin tetapi tentang diri sendiri.
Ditanya tentang peluang BN pada pilihan raya umum akan datang selepas persempadanan semula, beliau merasakan BN mempunyai peluang yang baik.
Bagaimanapun, beliau berkata BN akan menang kerana rekod prestasi yang terbukti sejak berdekad lama.
Shahrir menjelaskan BN berdepan isu kos sara hidup sejak 1987 tetapi kerajaan mengambil beberapa langkah untuk menangani isu itu.
Antara langkah yang dikatakan itu ialah tumpuan pada pertanian dan meningkatkan keuntungan korporat.