Polis cuba bawa pulang wanita, anak di Syria

Polis cuba bawa pulang wanita, anak di Syria

Polis mengetahui tentang wanita berumur lingkungan 30-an itu daripada keluarganya selepas menghubungi bapanya kira-kira 2 minggu lepas.

SUNGAI PETANI: Pihak polis kini sedang berusaha membawa pulang seorang wanita disyaki anggota militan IS bersama 4 anak yang pada masa ini dipercayai berada di kem pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya mengetahui tentang wanita berumur lingkungan 30-an itu daripada keluarganya selepas menghubungi bapanya kira-kira 2 minggu lepas.

“Ini pertama kali kita dapat, selalu mereka tidak berhubung (dengan keluarga) tetapi kali ini ada yang berhubung dengan keluarga mereka dan keluarga wanita itu beritahu kami supaya bantu bawa balik wanita itu bersama anak-anaknya itu.

Wanita itu juga memaklumkan kepada bapanya tersebut yang suaminya disyaki ditahan puak pemberontak YPG (Kurdish Militia People’s Protection Unit),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah sempena bicara integriti di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim hari ini.

Sehubungan itu, Ayob Khan berkata pihak PDRM akan berbincang dengan Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mencari kaedah terbaik bagi membawa pulang wanita itu berserta anak-anaknya dengan selamat ke negara ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata hasil maklumat diterima pihaknya mendapati 53 rakyat dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan militan IS masih bebas berada di Syria setakat ini.

“Mereka terdiri daripada 24 lelaki dan 12 wanita serta 9 kanak-kanak lelaki dengan 8 kanak-kanak perempuan,” katanya.

Ditanya peluang membawa balik kesemua mereka itu ke Malaysia, beliau berkata usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia itu akan berhadapan risiko serta kekangan tertentu berikutan pergolakan di negara terbabit.

Bagaimanapun katanya pihak PDRM akan berbincang dengan Wisma Putra dan KDN untuk mencari jalan terbaik bagi membawa pulang kesemua mereka ke negara ini semula terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut memberikan perhatian serius terhadap kehadiran pengganas warga asing (FTF) ke Malaysia untuk berlindung serta mengatur strategi ataupun bergabung dengan anasir IS di negara ini.

“Ini memang jelas, Malaysia sekarang ini dikhuatiri ada banyak lagi elemen FTF akan masuk sama ada melarikan diri dari Syria ataupun Iraq,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.