Peguam Siti Kasim asak Asri berkaitan Syiah, Sunni

Peguam Siti Kasim asak Asri berkaitan Syiah, Sunni

Mufti Perlis itu turut dilihat mengelak satu soalan jika beliau menganggap pemimpin IS ialah pengikut Syiah.

KUALA LUMPUR: Inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat hari ini “panas” apabila Siti Kasim yang mewakili Majlis Peguam mengasak Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai Syiah dan Sunni.

Siti bertanya kepada Asri jika Perlembagaan Persekutuan ada menyebut secara khusus sebarang mazhab apabila ia menyentuh tentang Islam.

Asri bersetuju dengan Siti yang Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan Sunni, Syiah atau Ahmadiyah – Syiah dan Ahmadiah dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama Islam Malaysia.

Asri turut bersetuju dengan soalan Siti yang beliau pernah didakwa atau dianggap pengikut aliran wahabi oleh orang Melayu.

Siti kemudiannya bertanya jika Perlis turut mengeluarkan fatwa terhadap Syiah Islam, Asri berkata, beliau mungkin terlepas pandang mengenai fatwa yang digazetkan.

Asri: Seingat saya tak digazetkan. Saya tak pasti sebab saya bukan mufti masa itu.

Siti Kasim: Kita ada bukti ia digazetkan. Seorang mufti mesti kena tahu semua fatwa digazetkan. Adakah anda setuju atau tidak?

Asri: Saya tak setuju. Saya tahu tentang fatwa, saya tidak tahu mengenai gazet.

Siti Kasim: Tindakan tidak boleh diambil terhadap Amri kerana fatwa belum digazetkan?

Asri: Ya, kerana saya belum jadi mufti.

Siti Kasim: Setuju jika siapa tak puas hati dengan Amri kemungkinan besar ambil tindakan sendiri?

Asri: Tak setuju.

Siti kemudian bertanya kepada Asri jika beliau bimbang dengan kegiatan Syiah Islam dan jika beliau merasakan pengikut Syiah Islam ialah ekstremis.

Beliau turut bertanya kepada Asri adakah beliau tahu tentang seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Azee @ Abu Sufyan.

“Saya tak kenal dia,” balas Asri.

Siti berkata, lelaki itu ialah seorang pengganas bermazhab Sunni.

Asri bagaimanapun mempersoalkan “agama Sunni” itu dan Siti berkata, lelaki itu beragama Islam tetapi bermazhab Sunni.

“Saya tak faham soalan anda, saya nak tanya apa maksud Sunni itu?” soal Asri.

Siti kemudian menjelaskan lelaki itu bermazhab Sunni, tetapi Asri masih tidak berpuas hati dengannya.

“Sunni tu apa? Anda peguam, anda guna satu istilah anda patut tahu,” katanya.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai kemudian meminta kedua-dua pihak tidak terus mempertikaikan perkara itu.

Amri yang merupakan pengasas Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Kehilangan misterinya dan 3 yang lain, Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth menjadi subjek inkuiri Suhakam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.