Ku Li pertahan Gua Musang untuk PRU14

Ku Li pertahan Gua Musang untuk PRU14

Tengku Razaleigh Hamzah berkata PRU14 masih beri peluang cerah uBN menang bukan saja di peringkat pusat, tetapi peringkat Kelantan berikutan PAS berpecah-belah dan ahlinya ramai lari menyertai parti lain.

Free Malaysia Today
Tengku Razaleigh Hamzah mengakui masih sihat, kuat dan mahu menyambung khidmat kepada rakyat.
GUA MUSANG:
Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya sejak 44 tahun lalu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Mengakui masih sihat dan kuat walaupun sudah 81 tahun, Tengku Razaleigh yang menyandang kerusi itu sejak 1974, mahu menyambung khidmat bakti kepada rakyat berikutan janjinya bagi membangunkan kawasan Gua Musang supaya wujud sebagai sebuah bandar maju.

“Rakyat menanti-nanti perubahan yang bakal kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan kerana hanya kerajaan itu sahaja menjamin untuk memakmurkan rakyat berbilang kaum di negara ini supaya nikmat dapat dinikmati bersama,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 penyokong BN pada Majlis Amanat Menghadapi PRU14 hari ini.

Tengku Razaleigh berkata PRU14 masih memberi peluang cerah untuk BN menang bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi peringkat Kelantan berikutan PAS berpecah-belah dan ahlinya ramai lari menyertai parti lain.

“Saya percaya akan berlaku angin perubahan melanda Kelantan pada PRU14 ini kerana kesan daripada perpecahan PAS itu,” katanya.

Beliau juga turut berjanji akan menyelesaikan tanah adat Orang Asli diperjuangkan kaum itu selama ini jika BN kembali mentadbir negeri ini.

“Bila kita (BN) menang sudah tidak perlu mereka membuat tuntutan dengan mengadakan sekatan di laluan lori balak di kampung mereka kerana kita mampu selesaikan masalah mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.