16 ahli Umno mohon mahkamah bubar parti

KUALA LUMPUR: Seramai 16 ahli Umno dari 5 negeri memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.

Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan hari ini, 3 minggu menjelang pilihan raya umum ke-14, kumpulan itu mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.

Sehubungan itu, kumpulan yang diketuai Ketua Umno Cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid, itu memohon perintah mahkamah mengisytiharkan kelulusan JPPM itu sebagai tidak sah.

“Di bawah perlembagaan kami, pemilihan parti hanya boleh dilanjutkan sehingga 54 bulan,” katanya sambil menambah pemilihan Umno terakhir diadakan pada Oktober 2013.

Mereka mendakwa tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penangguhan pemilihan parti, sebagai menafikan hak mereka untuk memilih pemimpin.

Kumpulan itu memohon mahkamah memerintahkan JPPM menyiasat Umno atas dakwaan melanggar perlembagaan sendiri dan satu lagi perintah untuk menggantung operasi parti sementara menunggu kes itu selesai.

Mereka turut memohon mahkamah memerintahkan Umno dibubarkan mulai hari ini kerana mendakwa parti itu kini “haram”.

Enam belas ahli itu memfailkan kes itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, dengan menamakan JPPM dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Pada 5 Mac lalu, JPPM dalam satu kenyataan mengesahkan permohonan Umno menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 diluluskan.

JPPM berkata, kelulusan itu selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17 yang memperuntukkan penangguhan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan, tidak boleh melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan sepatutnya diadakan.

Umno dilapor menetapkan 19 April 2019 untuk mengadakan pemilihan parti.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14