Pensyarah universiti dari Palestin maut ditembak ketika ke surau

PETALING JAYA: Seorang warga asing yang merupakan pensyarah di sebuah universiti swasta maut ditembak ketika dalam perjalanan menunaikan solat subah di Setapak, ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata lelaki berumur 35 tahun itu ditembak 2 lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Jalan Meranti, Medan Idaman Setapak, kira-kira 6 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal polis mendapati 2 suspek itu melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah mangsa.

“Tempat kejadian adalah tempat pejalan kaki di luar Kondo Idaman Puteri berhadapan Sekolah Kebangsaan Cina Lee Rubber.

“Ada 4 kesan tembakan utama dikesan di badan mangsa, bahkan 2 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Bernama melaporkan mangsa ialah warga Palestin yang tinggal bersama isteri dan 3 anaknya di kondominium itu. Beliau juga ialah imam kedua di masjid dan surau berhampiran tempat tinggalnya.

Mazlan memberitahu wartawan di tempat kejadian, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati 2 suspek itu menunggu mangsa keluar dari kawasan kondominium kira-kira 20 minit sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.

“Kita percaya suspek memang menyasarkan mangsa kerana sebelum itu terdapat 2 individu yang melalui jalan tersebut, tetapi tidak ditembak.

“Kita akan memeriksa semua CCTV di kawasan ini untuk mengenal pasti identiti suspek termasuk mendapatkan nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek,” katanya sambil menambah polis menyiasat daripada semua sudut, termasuk elemen pengganas IS.

Sementara itu, rakan mangsa berusia 32 tahun yang enggan dikenali berkata, beliau hairan apabila lelaki itu yang sepatutnya mengimamkan solat subuh di surau berhampiran, tidak muncul.

Katanya, mangsa tinggal di negara ini selama 10 tahun dan baru berpindah ke kondominium itu.

“Setahu saya, dia tidak mempunyai masalah dengan sesiapa, malah dia berkawan baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa,” kata warga Mesir itu.