Kayveas tak letak jawatan, dia dilucutkan, kata myPPP

Setiausaha Agung myPPP, Mohan Kandasamy mendakwa parti itu hanya menerima surat peletakan jawatan Kayveas awal hari ini.

PETALING JAYA: Dalam perkembangan terbaharu peletakan jawatan Tan Sri M Kayveas sebagai presiden Parti Progresif Penduduk (myPPP), parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mendakwa beliau sebenarnya dipecat, bukannya bertindak meletak jawatan sendiri.

Timbalan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Simon Sabapathy berkata myPPP hanya menerima surat peletakan jawatan Kayveas hari ini, selepas pihaknya memutuskan untuk memecatnya lebih awal susulan surat bertarikh 24 April daripada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Surat itu menyatakan beberapa tindakan dan kenyataan dibuat Kayveas berpotensi merosakkan hubungan myPPP dan parti komponen BN yang lain.

“Surat itu seolah-olah membayangkan myPPP akan diminta meninggalkan BN,” katanya hari ini.

“Majlis Tertinggi parti mengadakan mesyuarat dan memutuskan Kayveas tidak patut bertindak atas kehendak sendiri mengenai sesuatu yang penting seperti pembahagian kerusi tanpa membincangkannya dengan Majlis Tertinggi.

“Ini bertentangan perlembagaan parti, oleh itu parti memutuskan Kayveas dipecat.”

Kenyataan itu dibuat myPPP sejurus selepas Kayveas melalui Twitternya mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung myPPP, Datuk Mohan Kandasamy yang mula mengumumkan Kayveas dipecat hari ini, berkata parti itu hanya menerima surat peletakan jawatannya awal hari ini selepas membuat keputusan untuk memecatnya.

Mohan turut mengumumkan Naib Presiden myPPP, Datuk Seri Maglin D’Cruz dilantik sebagai pemangku presiden, berkuat kuasa serta-merta.

Kayveas pernah melobi untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi Presiden MIC ketika itu, Datuk Seri G Palanivel pada 2013. Beliau dilaporkan turun padang dan menganjurkan program bersama rakyat kawasan itu.

Kerusi itu bagaimanapun akan ditandingi Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh yang juga aktif di kerusi Parlimen Pahang itu.

Kayveas ditawarkan kerusi Parlimen Segambut di Kuala Lumpur, tetapi beliau menolaknya dengan alasan tawaran itu terlalu dekat dengan pilihan raya umum dan sukar untuk memenangi kerusi tersebut.

Susulan itu, khabar angin timbul yang myPPP akan meninggalkan BN sebagai tanda protes, tetapi Kayveas kemudiannya berkata, parti itu akan kekal dalam gabungan itu.

Beliau berkata, walaupun menolak tawaran untuk bertanding di Segambut, ahli lain dialu-alukan bertanding di kawasan itu.

Minggu lalu, Datuk Loga Bala Mohan dari myPPP diumumkan sebagai calon BN di Segambut yang akan berdepan Hannah Yeoh daripada DAP.

Bagaimanapun, Kayveas berkata, beliau tidak bersetuju Loga bertanding di kerusi Parlimen itu.

Kayveas yang juga bekas timbalan menteri, menjadi presiden myPPP pada 1993. Kini, beliau adalah penasihat Kementerian Pengangkutan, jawatan berstatus menteri.

Mohan turut mengesahkan Loga akan bertanding di Segambut.

Kayveas letak jawatan presiden myPPP