Bonda restu tanding? Nik Omar enggan ulas

Nik Omar sebenarnya masih ahli PAS walaupun bertanding atas tiket PKR.

PENGKALAN CHEPA: Sebaik secara rasmi menjadi calon Pakatan Harapan di DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyatakan kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Insya-Allah apabila kita bersedia menjadi calon kita bersedia untuk menerima tanggungjawab. Kita berikrar untuk memberi khidmat yang terbaik asasnya, kepada rakyat di DUN kita dan rakyat Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas penamaan Calon hari ini.

Penampilan anak kedua kepada pemimpin besar PAS, Datuk Nik Abdul Aziz, selaku calon Pakatan Harapan suatu kejutan buat penyokong PAS dan PH sendiri, selepas beliau menafikan “khabar angin” sebelum ini.

Nik Omar memberitahu pemberita bahawa beliau sebenarnya masih ahli parti Islam itu.

“Saya masih ahli PAS, sebagai calon Pakatan Harapan,” katanya.

Pengamal media dan pemerhati politik berwaspada sebaik sahaja Nik Omar tampil diiringi pimpinan Pakatan Harapan tempatan dan para penyokong ke pusat penamaan calon pagi tadi.

Sebelum ini, Nik Omar berkata dia tidak mendapat keizinan ibunya untuk bertanding atas tiket lawan, kerana tidak mahu bertembung dengan adiknya, Muhamad Abduh, yang bertanding di Parlimen Bachok.

DUN Chempaka merupakan kerusi bapa mereka dan terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa.

Ditanya apakah beliau sudah mendapat keizinan ibunya, Datin Sabariah Tuan Ishak, Nik Omar sekadar berkata: “InsyaAllah”.

Ketika Nik Omar diarak bersama bendera PKR, ibunya dan penyokong PAS mengiringi Nik Abduh di Bachok.

Nik Omar bakal berdepan penyandang, Ahmad Fathan Mahmood dari PAS dan calon BN, Mohamad Fareez Nor Amran.

Di peringkat Parlimen, calon PAS, Ahmad Marzuk Shaary akan berdepan calon BN, Zaluzi Sulaiman dan calon PH, Mohamad Ibrahim.

Di DUN Kijang pula, calon PAS Dr Izani Hussin akan berdepan calon BN, Wan Shahrul Azwan Abd Aziz dan calon PH, Nik Azmi Nik Osman.

Di DUN Panchor, calo PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan berdepan calon BN, Zarina Eusope dan calon PH, Zulhazmi Hassan.