PAS: Nik Omar tak akan berjaya kerana nasihat bapanya

KOTA BHARU: PAS Kelantan berkata Nik Omar Nik Aziz tidak akan berjaya mengurangkan sokongan kepada PAS kerana bapanya sudah mendidik penyokong supaya terus bersama parti Islam itu.

“Itu daripada mulut Tok Guru ketika masih hidup,” kata Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi merujuk kepada gelaran Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Jadi, sesiapa yang bertentangan dengan apa yang dinasihatkan Tok Guru saya rasa tidak akan berjaya.”

Nik Omar semalam mencetuskan kejutan apabila tampil sebagai calon Pakatan Harapan yang bertanding di DUN Chempaka. Kerusi itu pernah disandang Nik Aziz, bekas mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan.

Beliau adalah anak kedua tokoh Kelantan itu dan abang kepada Nik Mohamad Abduh, penyandang Parlimen Pasir Mas dan akan mempertahankan Parlimen Bachok untuk PAS.

Nik Omar juga seorang ahli PAS seumur hidup sehinggalah dipecat serta-merta semalam kerana bertanding pihak lawan. Beliau akan terlibat dalam pertandingan 3 penjuru ditentang Ahmad Fathan Mahmood (PAS) dan Mohamed Fareez Noor Amran (BN).

“DUN Chempaka tetap kubu PAS,” kata Che Abdullah. “Kita tak nampak dia boleh bawa pengaruh arwah bapa kerana bapanya telah memberi nasihat di akhir hayat dan memberi nasihat cukup jelas ketika hayatnya.”