Calon bebas dakwa kemiskinan Kadazandusun Murut ‘dahsyat’

Justin Guka berkata, kajian yang disiapkan pada 2016 mendapati 19.5% orang KadazanDusun dan Murut di Sabah masih bergantung kepada air graviti, manakala 4.7% tidak mempunyai bekalan elektrik sehingga 2016.

KENINGAU: Calon bebas di Parlimen Keningau dan DUN Bingkor, Datuk Justin Guka mendakwa kadar kemiskinan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di Sabah kini mencapai 65.3%, lebih tinggi berbanding 42 tahun lalu.

Beliau turut mendakwa KDM diperbodoh dan dianiaya kerajaan selama ini, menyebabkan beliau sanggup meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding sebagai calon bebas.

“Saya menjadi calon untuk memperjuangkan dan memartabatkan bangsa. Selama 2 tahun saya cuba mendapatkan kerjasama untuk berjuang bagi bangsa KDM, tapi semua parti majoriti KDM dari BN dan 2 parti pembangkang lebih mementingkan kuasa daripada keperitan rakyat.

“Ada yang mendakwa saya marah sebab tidak dicalonkan BN, tetapi ini hanya fitnah kerana mereka tidak tahu perjuangan saya. Sudah 4 tahun saya memulakan usaha ini,” katanya ketika ditemui di Keningau, semalam.

“Saya masih ingat apabila kajian kemiskinan di Tuaran dibentangkan di Parlimen pada 2010, tetapi mereka tidak mahu mengakui kewujudan masalah kemiskinan dan kepinggiran yang berleluasa di kalangan masyarakat kita dan bagi saya yang juga YB (Yang Berhormat) Bingkor pada masa itu, kemiskinan juga adalah satu realiti di Keningau.”

Justin berkata, menerusi perbincangan pada 2013, mereka mendapati satu kajian menyeluruh perlu dijalankan di semua 14 daerah, di mana KDM merupakan penduduk majoriti.

Katanya, kajian yang disiapkan pada 2016 itu mendapati 19.5% KDM di Sabah masih bergantung kepada air graviti, manakala 4.7% tidak mempunyai bekalan elektrik sehingga 2016.

“Macam mana pula dengan sekolah-sekolah, lebih 30% responden tidak puas hati dengan kualiti dan kemudahan sekolah, dengan adanya pendidikan pun tiada cahaya di hujung terowong, lebih 15% anak kita masih menganggur, angka ini 3 kali ganda lebih tinggi daripada peratusan pengangguran di Sabah.

“Bagaimanapun, dengan bukti yang begitu mantap dan laporan hampir 16,000 muka surat, semua parti KDM tidak berminat untuk meneruskan perjuangan bangsa,” dakwanya.